ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa beliau sentiasa teratur, bersopan dan beradab dalam menjalinkan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan selama ini.
Menurutnya, penilaian terhadapnya perlu dibuat secara adil ketika beliau memegang dua peranan berbeza iaitu sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar yang mentadbir Kedah.
“Kena ada beza kerana kita ini memakai beberapa topi dan kasut berbeza. Apabila pakai topi Ketua Pengarah Pilihan Raya, ucapan kita adalah daripada parti yang bertembung dan bersaing dalam sistem demokrasi dan disebabkan itu ucapan dilakukan akan tunjuk kebaikan kita serta menampilkan kelemahan lawan.
“Saya rasa semua parti di Malaysia buat perkara sama. Saya tengok ceramah pilihan raya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pun sakan juga dan keluar macam-macam perkataan tetapi saya tak ambil itu sebagai ucapan Perdana Menteri, sebaliknya itu adalah ucapan presiden parti yang berkempen dalam pilihan raya.
“Saya tak tahu ukuran (tidak beradab) diambil daripada mana tetapi dalam hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara negeri dan pusat, hubungan saya bersama Perdana Menteri adalah teratur, bersopan, beradab dan bertatakelola di mana sentiasa ada surat, permohonan dan saya hadir ke mesyuarat kerana itu fungsi Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadapnya mengenai kenyataan Pulau Pinang milik Kedah yang dibuatnya pada 29 Mei lalu.
Semalam, Perdana Menteri berkata, beliau sudah empat kali bertemu Menteri Besar Kelantan dan Terengganu selain telah meluluskan kebanyakan peruntukan diminta Menteri Besar Perlis kerana perkara tersebut ditanya secara sopan dan beradab melibatkan hubungan antara negeri dan Persekutuan.
Sementara itu Muhammad Sanusi yang memaklumkan sudah tiga kali mengutus surat untuk bertemu Anwar berkata, sebagai Menteri Besar, beliau telah memenuhi garis panduan seperti mana telah dilafazkan dalam sumpah perjawatannya antaranya memelihara kepentingan negeri ini.
“Itu sumpah saya dan tak ada saya buat ucapan di luar tatasusila seorang pemimpin negeri apabila memakai kasut dan topi selaku Menteri Besar. Jadi apabila diambil kerja saya yang lain (selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PN) dan diletak dalam kasut saya sebagai Menteri Besar, itu tak adil.
“Lebih-lebih lagi perkara itu diucapkan di Parlimen dengan saya tiada di situ untuk menjawab. Jadi perlu saya jelaskan, watak-watak yang ada di media sosial dan di mana-mana tempat sekali pun, adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti serta fungsi saya sebagai Menteri Besar,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyelar DAP yang didakwa cuba menakutkan penyokong mereka sendiri khususnya di Pulau Pinang apabila mencipta naratif kononnya Kedah ingin menuntut semula negeri berkenaan.
Katanya, serangan dan keceaman yang ditujukan kepadanya berhubung isu tersebut adalah politik perkauman sempit daripada DAP.
“Itu tujuan politik DAP untuk menakutkan penyokong DAP bahawa kalau tidak undi DAP, negeri ini (Pulau Pinang) akan diambil alih oleh Kedah. Saya rasa DAP ini kena tolak. Tak aman Malaysia kalau DAP menang lagi. Orang Melayu pun takut kepada DAP tak tentu punca,” katanya. –UTUSAN
No comments
Post a Comment