NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Golongan radikal, pelampau sudah tiada dalam PAS, TGHH main peranan bersih parti



SHAH ALAM: Golongan radikal dan pelampau sudah keluar meninggalkan PAS dengan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi watak penting dalam usaha membersihkan parti daripada golongan itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata apa yang dilakukan Abdul Hadi itu secara tidak langsung menepis dakwaan bahawa Ahli Parlimen Marang itu kononnya yang membawa masuk anasir radikal ke dalam parti.

"Setakat hari ini PAS yang selalu orang label kononnya Tok Guru Haji (Abdul) Hadi ini memimpin gerakan kepemimpinan yang nak membawa ke arah radikal, saya nak beritahu bahawa golongan radikal, pelampau yang ada dalam PAS sudah keluar daripada PAS.

"Merekalah yang cuba nak membawa pendekatan-pendekatan ini. Yang cuba meneutralkan keadaan dalam PAS adalah Tok Guru Haji Hadi," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh beberapa perkara yang berlaku sejak dulu seperti reformasi, perarakan dan sebagainya, di mana Abdul Hadi walaupun tidak menghalang menegaskan ada had tertentu yang perlu dipatuhi.

"Penyertaan PAS dalam (demonstrasi) BERSIH, (apabila) kita tak buat (maka) orang tak ramai (sertai). Sebab yang memobilisasi ini adalah orang PAS dari Baling, Padang Terap, Jeli dan Gua Musang sebelum mereka himpun duit motong (toreh pokok) getah nak datang untuk berdemonstrasi di Kuala Lumpur.

"Tetapi apabila kita tengok ada hadnya yang meneutralkan keadaan ini adalah Tok Guru Haji Hadi," katanya.

Mengulas isu yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R), Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, tidak ada salahnya kerana tiga perkara itu didakwanya terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Serai itu, Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terdesak dengan melarang penggunaan isu menyentuh 3R kerana gagal meraih sokongan kuat orang Melayu dan Bumiputera.

"Dua hari lepas, kita tengok Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail) memberi amaran kepada pembangkang jangan main isu 3R. Apa masalah tentang 3R ini?

"Soal berkenaan isu Islam, agama ini termaktub dalam Perlembagaan. Islam sebagai agama Persekutuan. Soal berkenaan dengan kaum, apa masalahnya? Memang termaktub dalam Perlembagaan bab berkenaan hak istimewa orang Melayu.

"Berkenaan royalty (institusi diraja), raja-raja Melayu...apa masalahnya? Memang termaktub dalam Perlembagaan.

"Mereka memberi amaran kepada kita jangan mainkan isu kerana mereka tahu, mereka terkebelakang. Setakat hari ini, kerajaan pimpinan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) gagal mendapat sokongan majoriti dalam kalangan orang Melayu Bumiputera di negara kita," katanya

Tambahnya, mana-mana pemimpin yang mahu mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan mesti meraih sokongan majoriti penduduk.

Memetik sebuah kajian yang tidak diperincikan sumbernya, beliau berkata Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh 11 peratus undi orang Melayu.

"Daripada 100 orang Melayu yang keluar mengundi, 11 orang sahaja (undi PH). Sekarang masih lagi kajian yang dibuat sama ada di pihak kita, di pihak dia (PH) dan di pihak bebas masih lagi (tunjukkan) pimpinan PMX ini tidak mendapat sokongan padu dalam kalangan orang Bumiputera, Melayu," katanya.


Sumber I BH Online





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo