KOTA KINABALU: Formula gaji minimum yang sedang digunakan akan diteliti semula dengan mengambil kira model gaji lain seperti gaji kehidupan wajar dan gaji progresif.
Kini, Kementerian Sumber Manusia menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum (PGM) yang dijangka akan selesai pada hujung Disember ini.
Kajian itu selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) untuk menjalankan sekurang-kurangnya satu kali kajian dalam tempoh dua tahun setelah (PGM) dilaksanakan pada 1 Mei 2022.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan PGM pada Mei tahun lalu melibatkan majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta menjalankan aktiviti profesional.
Namun, bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja dan tidak menjalankan aktiviti profesional akan mula melaksana PGM berkuatkuasa 1 Julai ini.
“Kementerian akan menilai semula formula gaji minimum yang digunakan dengan membuat perbandingan antara kaedah pelaksanaan dasar gaji minimum di negara ini dengan negara serantau. Malah, kita juga akan melihat model gaji lain seperti model gaji kehidupan wajar dan model gaji progresif.
“Kajian semula PGM akan turut mengambil kira indikator-indikator sosioekonomi seperti pendapatan garis kemiskinan, penengah gaji (keupayaan majikan untuk membayar gaji), kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan kos sara hidup,” katanya.
Dalam masa sama, MPGN juga mengadakan perundingan dengan orang awam meliputi pihak persatuan majikan, kesatuan sekerja, majikan dan pekerja melalui sesi libat urus yang diadakan di setiap negeri.
Mustapha berkata, selepas mengadakan perundingan dengan orang awam, MPGN akan membuat syor kepada kerajaan tentang perkara-perkara berkaitan termasuk kadar gaji minimum, liputan kadar gaji mengikut sektor, ketidakpakaian kadar dan liputan gaji minimum yang disyorkan bagi mana-mana sektor.
Menurut beliau, dasar gaji minimum bertujuan untuk menetapkan gaji lantai atau gaji pokok sahaja bagi golongan pekerja kategori bergaji paling rendah dalam pasaran buruh.
Sumber I UTUSAN
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment