NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ekonomi negara mundur kerana PN banyak berpolitik - Fadillah



KUCHING: Perikatan Nasional (PN) seharusnya bersedia menyertai Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama demi kesejahteraan rakyat serta melicinkan usaha pemulihan ekonomi, bukannya memilih untuk terus berpolitik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan berbeza dalam mentadbir negara apabila kekal dengan komitmen untuk menstabilkan politik dan menyatupadukan rakyat.

Justeru, katanya, PN perlu sedar, akibat terlalu banyak berpolitik, ia memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

"Yang paling utama sekarang ialah untuk memastikan kestabilan politik. Kerajaan Perpaduan bukan sahaja merangkumi semua wilayah dalam Malaysia tetapi mewakili semua etnik dan agama.

"Malah, kalau dapat dicadangkan kepada PN, sertailah Kerajaan Perpaduan supaya tidak ada lagi politik dan kita bersama-sama membangunkan negara," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pesta Samariang 2023 di Kampung Tunku, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, semalam yang mendakwa Kerajaan Perpaduan gagal mencapai prestasi seperti diharapkan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Muhammad Sanusi berhak menyatakan apa sahaja pandangannya, namun rakyat yang akan menilai setiap apa yang dikatakannya.

"Setiap orang ada hak untuk menyatakan pandangan tetapi akhirnya rakyat akan menentukan sama ada apa yang dinyatakan itu betul atau tidak.

"Sekarang, negara memerlukan kestabilan politik kerana ia akan memudahkan pemulihan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.

"Apabila politik stabil, barulah kita dapat fokus untuk membangunkan negara, memulihkan ekonomi. Jika terlalu banyak politik, ia akan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Jadi, bersatu, berpadulah kita sebagai sebuah negara, cukup-cukuplah (berpolitik)," katanya.

Sementara itu, Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Malaysia akan terus menegaskan pendiriannya mengenai aspek kelestarian dan kemampanan industri sawit dalam pertemuan bersama Ketua Pengarah Alam Sekitar Suruhanjaya Eropah, Florika Fink-Hooijer, yang akan berkunjung ke Kuala Lumpur, 28 Jun ini.

Beliau berkata, pada perjumpaan itu, pihaknya akan membincangkan dengan lebih lanjut inti pati perbincangan yang dilaksanakan di Brussel, Belgium, bulan lalu.

"Perbincangan itu nanti diharap akan dapat menentukan hala tuju hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai industri sawit serta komoditi lain yang dieksport ke rantau berkenaan.

"Ini bagi memastikan setiap pelaksanaan peraturan baharu oleh EU mengenai kemampanan dan kelestarian alam sekitar terhadap industri komoditi tidak meminggirkan pekebun kecil," katanya.


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo