LUMUT: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub meminta pihak pengeluar susu formula menyediakan laporan pergerakan harga produk berkenaan bagi tempoh enam bulan.
Salahuddin berkata, kementerian akan meneliti perkara itu dan mengambil beberapa inisiatif bagi mendepani masalah harga susu formula jika kenaikan benar-benar berlaku seperti didakwa orang ramai yang mengatakan harga barangan itu semakin mahal.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan harga susu formula dalam sesi lawatan di beberapa lokasi termasuk di Manjung hari ini, semuanya masih lagi dijual pada kadar berpatutan.
“Saya akan sentiasa turun padang, pegawai-pegawai beberapa ketika ini akan lebih peka dan prihatin kerana kita memang perlu mendepani isu aduan yang rakyat berikan, kita bertindak pantas.
“Kita lihat dulu, sebab itu saya minta pergerakan harga enam bulan. Kalau benar aduan itu betul, maka libat urus akan kita adakan dengan pihak pengeluar, kalau tiada, maknanya kita akan beri suatu laporan nanti bahawa memang tidak berlaku kenaikan yang melampau,” katanya kepada pemberita selepas memantau dan melawat sebuah syarikat pembungkusan minyak masak.
Beliau berkata demikian susulan menerima laporan melalui media sosial berkenaan susu formula bayi dan kanak-kanak yang dikatakan naik mendadak antara RM10 hingga RM30.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata susu formula untuk pesakit kanser bukan barangan kawalan kerana ia diimport, dan beliau akan berbincang dengan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa supaya rakyat boleh membeli produk tersebut di hospital kerajaan pada harga lebih rendah.
Pada 15 Mac lalu media melaporkan susu formula untuk pesakit kanser mengalami kenaikan harga sejak Disember tahun lalu.
Mengenai bekalan gula bertapis kasar dan halus yang masih kekurangan di pasaran, Salahuddin berkata beliau mengadakan sesi libat urus kelima bersama pihak industri semalam, yang berjanji akan mencukupkan bekalan dalam masa terdekat.
Sementara itu, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kementerian akan mengadakan sesi libat urus bersama syarikat pengeluar susu formula berhubung dakwaan kenaikan harga produk berkenaan.
“Saranan saya untuk rakyat adalah muat turun aplikasi ‘price catchers’ untuk membuat perbezaan harga barangan keperluan. Setiap hari, data harga barangan akan dikemas kini…muat turun aplikasi ini dan buat pilihan bijak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran treler Jualan Rahmah bergerak di tapak Masjid Mengkuang Titi.
Mengenai program treler Jualan Rahmah bergerak, Fuziah berkata program itu akan diadakan dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) hingga hujung tahun ini dengan menawarkan barangan keperluan harian hingga 30% lebih murah bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup semakin meningkat.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment