Dr Mahathir
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kebebasan untuk beliau bersuara tidak menjadi sebahagian daripada perubahan yang dijanjikan kerajaan.

Ia susulan siasatan yang dilakukan terhadap beliau berhubung sejarah Kedah dan Proklamasi atau Pemasyhuran Orang Melayu.

"Jawapan saya kepada banyak soalan yang ditanya adalah mudah. Jika didakwa di mahkamah (mahkamah terbuka) saya akan jawab.

"Di Tanah Melayu dengan seorang Melayu mengetuai kerajaan, orang Melayu tidak boleh bercakap tentang masalah mereka. Ia adalah rasis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa bercakap benar tentang sejarah bukan merupakan satu jenayah.

Katanya, sekiranya apa yang dikatakan adalah salah, ia perlu dibuktikan.

"Jika tidak (dibuktikan), menghantar polis untuk menyoal saya adalah satu bentuk ugutan," katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan berkata, Dr Mahathir telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan ke atas Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.