NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar dijangka umum langkah atasi kejatuhan ringgit, saham esok

JOHOR BAHRU:  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan dasar dan langkah drastik yang akan diambil kerajaan untuk menangani pelbagai isu ekonomi termasuk kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham negara, esok.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dijangka diumumkan semasa lawatan Perdana Menteri ke Suruhanjaya Sekuriti, tengah hari esok.

“Biarlah perkara-perkara dasar seperti itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri umumkan.

“Pada pukul 12 tengah hari esok, Perdana Menteri akan  melawat Suruhanjaya Sekuriti, dijangka beliau akan umumkan tentang isu-isu berkaitan ekonomi,” katanya diminta mengulas apakah langkah-langkah diambil kerajaaan untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham negara.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Pengarah BSN Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail.

Pada masa ini, nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat ialah RM4.6 bagi AS$1.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mulai dibayar kepada 8.4 juta penerima, melibatkan peruntukan RM2.14 bilion sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijangka diraikan pada 29 Jun ini.

Sumbangan e-Tunai  RM200 kepada golongan belia berumur 18 hingga 21 tahun juga akan diberikan pada minggu ketiga Jun ini.

Rayuan STR  pula boleh dibuat di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau secara dalam talian mulai 1 Julai ini.

Ahmad turut menggalakkan golongan pengusaha terdiri daripada belia, penjaja dan wanita memanfaatkan pembiayaan Skim Mikro Kasih  berjumlah RM900 yang disediakan oleh BSN untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Skim ini memberi pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan kadar empat peratus dan setakat ini 10 peratus sudah diberikan,” katanya. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo