Ketegangan antara dua parti kerajaan, PKR dan MUDA semakin memuncak apabila mereka berbalas kenyataan media berkait skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Dalam kenyataan terbaru Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin mempersoal kebijaksanaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang masih mahu lantang bersuara membangkitkan isu itu.
“Apa yang Syed Saddiq bebal sangat tak faham?,” katanya, lapor Malaysiakini.
Kata Razeef kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu merupakan teguran atas kebiadaban Presiden MUDA itu yang memutar belit fakta apabila usulnya ditolak.
“Namun hari ini beliau memutar belit teguran AMK sebagai satu ugutan supaya beliau tidak menyuarakan isu rakyat dan ini sangat tidak benar,” katanya.
Semalam Syed Saddiq mengadakan sidang media di lobi Parlimen dengan menegaskan beliau akan terus menyuarakan isu LCS itu meskipun diugut oleh pihak tertentu.
Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Khamis lalu, Syed Saddiq mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat namun usulnya itu ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Syed Saddiq berkata Johari bersikap tidak adil terhadapnya dan mendakwa usul untuk membincangkan skandal LCS ditolak kerana Speaker menganggap ia bukan soal kepentingan orang ramai dan bukan keperluan mendesak.
Johari bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menjelaskan usul itu ditolak kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum mengeluarkan laporan mengenai perkembangan terbaru.
Kelmarin, AMK membidas Syed Saddiq kerana didakwa cuba mengalihkan tiang gol selepas usul untuk membincangkan skandal LCS itu ditolak dan bekas menteri belia dan sukan itu menggambarkan seolah-olah Dewan Rakyat serta kerajaan dan cuba melindungi siasatan LCS.
Dalam pada itu Razeef berkata, peningkatan kos projek tersebut sudah dijelaskan namun Syed Saddiq masih mengulangi soalan sama.
“Berkenaan peningkatan kos yang berpunca dari perubahan dan penambahan spesifikasi serta inflasi juga telah dijawab namun beliau (Syed Saddiq) masih mengulangi soalan sama seolah terlalu ‘bebal’ untuk memahami,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih BNS supaya projek berkenaan dapat diselesaikan.
Katanya, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS namun sehingga hari ini belum ada satu kapal yang berjaya disiapkan untuk digunakan pihak keselamatan negara.
PAC kini sedang menjalankan siasatan baru ke atas skandal LCS dan BNS dijangka memberikan laporan kemajuan kepada kerajaan setiap suku tahun.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment