KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada mahasiswa untuk mengadakan konsert atau persembahan nyanyian dan kebudayaan di kampus.
Bagaimanapun menurut Anwar, pelajar yang menghadiri konsert terbabit perlu menjaga adab dan akhlak sebagai seorang mahasiswa.
“Kita boleh adakan. Tapi kawal suasana boleh? Saya akan cadangkan kepada menteri. Kadang-kala reaksi ini daripada berapa kelompok. Kalau kita tengok reaksi konservatif semua tak boleh, dia semua boleh, orang lain tak boleh.
“Sebab itu kita kena beri sedikit kelonggaran, saya tidak beri kelonggaran anak-anak muda sehingga rosak akhlak, tidak. Kelonggaran itu beri ruang.
“Konsert ini maknanya apa orang hendak ada pertunjukan, kebudayaan, ada nyanyi. Itu konsert. Tetapi yang sambut itu saya pesan kawal. Mungkin cadangan kita beri kebenaran satu kampus dan tengok macam-mana reaksi boleh diluluskan,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh seorang mahasiswa dalam program ‘Temu Anwar’ di Universiti Malaysia Kelantan mengenai arahan daripada pihak universiti yang mengharamkan sebarang konsert diadakan di dalam kampus.
Anwar berkata, beliau baru melihat salinan arahan berkenaan dan akan berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung Rabu ini.
“Kita inikan anak muda yang ada cita-cita anak muda yang diletakkan harapan tinggi. Jadi kawal. Bagi saya soal akhlak itu penting. Tapi jangan sampai menyekat orang hendak nyanyi.
“Dulu saya ingat lagi masa menteri pendidikan ada pertunjukan oleh Sheila Majid di Universiti Malaysia. Ada bantahan. Saya kata ok lah ada bantahan. Kemudian dia ambil tindakan pecahkan cermin sebagai protes. Saya cakap buang dia dari universiti. Walaupun tak lama dia kena gantung. Itu tidak boleh.
“Saudara boleh protes kalau ada gejala yang agak merosakan, melampau. Itu kita halang. Tetapi kalau setakat konsert nak nyanyi nak dengar, orang berdiri sikit-sikit goyang tangan biar sahajalah. Tapi kalau berlebih-lebih, masalah kawalanlah,” katanya.
Sebelum ini aksi sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Terengganu yang menari semasa menyaksikan konsert yang diadakan pada program anjuran kelab pelajar tular dalam media sosial termasuk Facebook.
Ramai netizen yang mengecam pelajar-pelajar terbabit sambil menyatakan bahawa aksi mereka itu bukan budaya masyarakat di Terengganu.
Media kemudian melaporkan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membantah keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengeluarkan surat arahan pembatalan semua program konsert di seluruh universiti awam (UA), termasuk Universiti Malaya.
Berdasarkan surat arahan, semua program konsert di UA yang tidak melalui proses penilaian risiko aksi luar jangka perlu dibatalkan serta-merta, manakala yang sudah melalui proses berkenaan perlu dihantar semula untuk dinilai sekali lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment