NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah Wan Azizah dengar doa Norhayati?

Perihal berita bahawa peguam kerajaan mencelah bagi membantah isteri dan keluarga Amri Che Mat beroleh kebenaran di sebalik kehilangan aktivis itu sangatlah seperti halilintar memetir dan sabung menyabung gempitanya dalam dada setiap pencinta keadilan dan kebenaran. Amri hilang tanpa berita. Suhakam mengatakan mereka dihilangkan secara paksa, maka apa haknya kerajaan menafikan maklumat ini untuk keluarganya?

Saya pernah tuliskan, jika kerajaan ini – Kerajaan Perpaduan – menafikan kerabat mangsa kehilangan paksa untuk mendapat pengetahuan apa yang terjadi; ketahuilah kerajaan ini akan runtuh. Allah tidak bersama-sama penindas. Saya pernah menuliskan di sini yang Allah tahu Amri dimangsai. Jika kerajaan memilih untuk memendam apa yang sudah berlaku ketahuilah maka petaka dan bencana akan menyapa. Lambat-laun, yang madani akan menjadi mungkiri, setiap yang mungkir berakhir mungkar.

Masyarakat madani perlu diberi petunjuk bahawa negara ini bukan negara polis yang hidup kita sangat penuh gerun dan khuatir. Hal ini bukan keterlaluan kerana ada banyak sebab kita perlu berasa ragu.

Pertamanya, ketakutan adanya sang mata-mata sedang mengawasi kita sudah pun bersarang dalam diri rakyat sekian lama.

Jika kita membaca buku Muslihat Mahathir (2023) karya Barry Wain terjemahan Mardhiyyah Abadan dan Badrul Hisham Ismail yang diterbitkan IBDE, kita akan terkejut mengetahui bagaimana Cawangan Khas digunakan untuk menebas musuh-musuh politik menteri dalam negeri iaitu Ghazali Shafie pada 1970-an. Buku itu terjemahan Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times.

Ghazali yang bercita-cita menjadi perdana menteri menyasarkan siapa sahaja yang merencat di laluannya, dengan menuduh mereka itu sebagai komunis. Nama-nama yang diheret, ditahan, dipaksa, dan diseksa nama-nama besar. Ahli politik, sasterawan, seniman, ahli akademik, ada yang merupakan menteri, dan itu tidak menjadi halangan buat Cawangan Khas untuk mengerjakan mereka. Buku itu juga menelanjangkan fakta bagaimana Syed Husin Ali ditahan semata-mata agar dia dapat menuduh orang tertentu dengan label yang telah dipasangkan.

Barry Wain (yang diterjemahkan IBDE) menukilkan begini:

“Selaku menteri dalam negeri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, hal ini ibarat bulan jatuh ke riba buat Ghazali Shafie. Selain cita-citanya yang tinggi itu, dia memang tidak menyukai Abdullah Ahmad yang telah membantu mengatur kekalahannya semasa pemilihan naib yang dipertua parti pada 1975. Senjata Ghazali ialah polis Cawangan Khas, satu unit risikan yang turut memerhati musuh Umno dan kerajaan di samping kerja rasminya menyiasat musuh negara. Lebih jahat lagi, Ghazali menggunakan Cawangan Khas untuk mencantas musuhnya dalam Umno atas nama mengancam keselamatan negara.

“Pada Jun 1976 iaitu lima minggu selepas dikurniakan anugerah tertinggi sastera negara oleh perdana menteri, Samad Ismail ditahan kerana disyaki menjadi ahli Parti Komunis yang telah diharamkan. Dia ditahan tanpa bicara setelah penangkapan dua orang wartawan akhbar Melayu di Singapura yang mengakui mereka sebahagian daripada gerakan komunis yang diketuai oleh Samad. Selepas Samad membuat pengakuan di siaran televisyen tahanan politik ketika itu disyaratkan untuk mengaku jika mereka mahu dilepaskan bahawa dia telah bertahun-tahun menggerakkan usaha menjatuhkan kerajaan atas arahan ejen komunis dari luar negara.

“Ghazali kembali mendapat perhatian dalam politik. Dia jadi wira dalam perhimpunan agung Umno pada tahun ini. Ghazali diberikan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia berucap menjamin pertarungan melawan komunis telah selesai dan berjaya.”

Berdasarkan petikan dari buku di atas, amatlah wajar untuk rakyat mengetahui adakah negara kita mempunyai pasukan sebegini yang kerja mereka boleh dimanipulasi untuk agenda tertentu. Jika itu berlakunya di zaman Ghazali menjadi menteri dalam negeri, maka kita perlu tahu apakah yang berlaku di zaman Amri diculik.

Amri dihilangkan secara paksa pada malam 24 Nov 2016. Beliau keluar dari rumahnya untuk menemui seseorang, sebaik melangkah keluar rumah, lima buah kenderaan menghalang pergerakan kereta Amri. Ia berlaku hanya kira-kira 550m dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis. Beliau diculik tanpa sebab diketahui. Dalam masa terdekat juga ada kecenderungan serupa yang menculik Pastor Raymond Koh pada siang 13 Februari 2017 di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari kompleks perumahan polis di Kelana Jaya.

Kedua-dua kes di atas sudah dirumuskan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai kehilangan paksa dalam satu inkuiri panjang bermula Oktober 2017. Suhakam membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka. Pesuruhjaya Suhakam tatkala itu, Mah Weng Kwai, percaya individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara terbabit dalam penculikan tersebut.

Dalam laporan akhir inkuiri, panel Suhakam yang menyiasat kes kehilangan Amri mendakwa polis melakukan “usaha untuk mengaburkan” dan ini berkait dengan bekas pekerja kontrak Cawangan Khas itu.

Apa gerangan kerajaan madani ini berebut dengan keluarga Amri untuk menutup kebenaran? Tidakkah isteri Amri berhak mengetahui apa yang berlaku?

Kerajaan perpaduan hari ini dipimpin oleh seorang perdana menteri yang pernah dipukul dalam lokap polis dengan cara boleh menyebabkan kematian. Anwar dibiarkan pengsan dan tidak mendapat rawatan selama beberapa hari. Hal ini semua menjadi episod yang tidak boleh dilupakan oleh generasi 1997 dan sudah difilemkan dalam Anwar: The Untold Story. Adalah malang jika kerajaan yang dipimpin oleh seorang mangsa keganasan polis begini ingin merebut fail yang menyimpan segala rahsia dan maklumat kehilangan Amri dari tangan isterinya, Norhayati Mohd Ariffin.

Jika Wan Azizah berasa galau dan resah selama lima hari tidak mendapat khabar berita mengenai Anwar, maka rasanya apakah perasaan cikgu Norhayati selama tujuh tahun ini? Apakah hak Norhayati dan anak-anaknya tidak setanding dengan hak Wan Azizah dan anak-anak beliau?

Bukan sahaja keluarga Amri berhak mengetahui apa yang berlaku, kita seluruh rakyat mahukan ketelusan agar negara ini tidak akan berdepan lagi dengan manipulasi jahat pihak tertentu khusus menteri dalam negeri atau perdana menteri.

Itulah sebabnya saya mengatakan, jika kerajaan yang tertubuh atas nama madani ini mungkir, maka apa bezanya dengan kerajaan Najib dan Muhyiddin?

Yang kerajaan perpaduan harus takuti bukanlah kesepakatan cela Mahathir dan Hadi Awang atas nama Melayu. Yang kerajaan Anwar harus geruni ialah doa isteri Amri dan Pastor Koh. Tidakkah kalian pernah mendengar kata-kata bahawa Tuhan akan akur doa orang tertindas?

 - FMT


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo