NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

17 keluarga mangsa banjir di Kampung Iboi akan dipindahkan



BALING - Sebanyak 17 keluarga mangsa terjejas banjir aliran puing Kampung Iboi yang rumah mereka dikategorikan berada di zon kuning bakal dipindahkan ke kawasan baharu tidak lama lagi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses pengambilan tanah membabitkan kos RM600,000 bagi pelaksanaan rumah fasa dua itu di Kampung Bok Bak di sini, telahpun selesai.

Menurutnya, pembinaan fasa dua membabitkan kos keseluruhan RM3 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melakukan kunjungan ke Kampung Iboi, selepas kejadian itu.

"Bagi fasa dua melibatkan 17 keluarga lagi.. sikit masa lagi mereka juga akan turut dipindahkan," katanya selepas Penyerahan Kunci dan Geran Tanah kepada 12 keluarga banjir aliran puing Kampung Iboi (fasa satu) di Keda Kampung Sadek, Kupang di sini pada Jumaat.

Jelas Muhammad Sanusi, reka bentuk rumah fasa dua yang bakal dibina itu sama seperti 12 buah rumah yang telah siap namun kosnya pembinaannya dijangka lebih rendah.

"Reka bentuk (bagi rumah fasa kedua) sama, cuma berbeza dari segi penyediaan infrastruktur... pengambilalihan tanah di bawah kerajaan negeri sudah siap manakala dari segi infrastruktur dan bangunan bawah Jabatan Kerja Raya (JKR)," jelasnya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 12 keluarga mangsa banjir aliran puing Kampung Iboi, Julai tahun lalu yang mengalami kerosakan tempat tinggal dan harta benda, telah menerima rumah masing-masing berserta geran yang diserahkan Muhammad Sanusi.

Dalam kejadian 4 Julai 2022, tiga beranak termasuklah seorang wanita hamil dan ibu mertua yang lumpuh, maut selepas rumah mereka dihanyutkan air deras.

Jelas Muhammad Sanusi, tempoh sembilan bulan diambil untuk menyiapkan rumah fasa pertama agak terlewat kerana sepatutnya disiapkan dalam tempoh enam bulan.

Bagaimanapun, penantian itu berbaloi kerana turut membabitkan pembinaan infrastruktur tambahan termasuk kelengkapan jalan tar, kerja-kerja menambun tanah dan kemudahan bekalan asas.

"Kerajaan negeri telah melunaskan janji sebagai menunaikan komitmen kepada penduduk yang terkesan akibat banjir aliran puing Kampung Iboi, yang mana kesemua 12 keluarga yang rumah mereka musnah telah menerima rumah baharu hari ini.

"Rumah ini dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air yang mana pada mulanya membabitkan kos keseluruhan RM1.2 juta namun dengan penambahbaikan infra ia telah meningkat kepada RM2.1 juta sepenuhnya dibiayai kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, penerima rumah, Abdul Rahman Said, 71, melahirkan kesyukuran kerana telah menerima kunci dan geran tanah daripada kerajaan negeri setelah hampir setahun menunggu.

"Alhamdulillah, kami dapat berpindah sebelum Aidiladha tidak lama lagi, dapatlah saya menyambut hari raya di sini, jika boleh esok saya sudah mahu berpindah," katanya yang kehilangan isteri, anak serta menantu dalam kejadian itu.

Seorang lagi penerima, Azizan Mat Isa, 50, meluahkan hasrat bahawa akan membawa isteri dan anak-anak ke rumah baharu minggu hadapan, bagi membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha.

"Perasaan sedih dan gembira kerana sebelum ini saya habiskan wang pencen tentera saya untuk buat rumah di Kampung Iboi, tapi rezeki hanya dapat tinggal selama 10 tahun sebelum ia musnah akibat banjir aliran puing.

"Sekarang ini saya hanya bekerja kampung dengan mengambil upah membuat rumah, syukur alhamdulillah kerana kerajaan banyak bantu kami," katanya.


Sumber I Sinar Harian 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo