NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usaha Dr Mahathir penting untuk perkasa Melayu kembali - TGHH



PAS menyokong usaha memperkasa Melayu kembali termasuk Proklamasi Orang Melayu yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad, tegas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, usaha Dr Mahathir dalam mempertemukan pemimpin politik, ilmuwan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam memperkasa Melayu kembali.

“PAS menyokong usaha permulaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menemukan para pemimpin Melayu, para ilmuwan, parti politik, NGO dan orang-orang yang berpengaruh.

“Ketepikan mereka yang tenggelam dalam mengejar apa sahaja cita-citanya sehingga matlamat menghalalkan segala cara dan menyerang tokoh-tokoh Melayu secara peribadi yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik dengan berbagai-bagai ungkit-mengungkit dan sindiran.

“Pada masa yang sama, mereka itu bersekongkol dengan kalangan yang nyata bukan Islam dan bukan Melayu yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai yang kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu, kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka.

“Mangsa kejahilan tersalah langkah politik, menghidapi penyakit rasuah, mengalami keruntuhan moral dan lain-lain penyakit dalam keadaan mereka berpecah dalam perkara cabang agama, fahaman politik, perebutan pangkat dan harta.

“Jangan biarkan kuasa politik yang masih ada ini terlucut kerana jahil dan leka kerana kuasa politik memayungi segala perkara yang lain. Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” katanya.

Pada 3 Mei, Abdul Hadi bersama Naib Presidenya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman mengunjungi kediaman Dr Mahathir dan menandatangani Proklamasi Orang Melayu tersebut.

Sebelum ini juga beberapa pemimpin Bersatu turut menyatakan sokongan terhadap proklamasi tersebut atas kapasiti individu termasuk Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Iskandar, Datuk Dzulkarnain Abdul Khalid.

Namun usaha itu mendapat kritikan daripada beberapa individu yang kurang senang dengan suasana berkenaan.


Sumber I Agenda Daily



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo