KOTA BHARU - UMNO Kelantan mencabar Tan Sri Annuar Musa mengajak anak lelakinya yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Ketereh menyertai Pas sebelum berkempen menarik orang lain menyertai parti itu.
Ketua Penerangan, Datuk Zawawi Othman berkata, Annuar akan dilabel gagal jika anak kandung sendiri tidak meyakini tindakan tersebut, apatah lagi orang lain.
Menurut beliau, pada masa sama bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu tidak perlu membuat propaganda dengan sekadar menyebut sahaja angka-angka ahli UMNO yang akan menyertai Pas.
"Kita sudah masak dengan permainan politik beliau.
"Annuar sepatut mengajak anaknya terlebih dahulu sebelum berkempen dan menarik orang lain masuk Pas.
"Bak kata orang Kelantan, 'debek' benar kalau anak sendiri tidak mengikut jejak langkah perjuangan ayahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zawawi memberitahu, ia menjadi pra syarat utama untuk membuktikan keikhlasan perjuangan bekas Setiausaha Agung UMNO itu.
Tambah beliau, UMNO Kelantan tidak menolak kemungkinan penyertaan Annuar itu bertujuan mencari tapak untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Nasihat kami pada Pas supaya berwaspada dan berhati-hati dengan langkah Annuar.
"UMNO telah masak dengan ragam dan perangai beliau ini. Silap hari bulan Pas pula akan terjerat dengan 'mind games' beliau," katanya.
Sinar Online pada Sabtu melaporkan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN) itu mengesahkan menghantar permohonan menjadi ahli Pas.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti senario politik negara dan juga keadaan dalam UMNO itu sendiri.
Sumber I Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment