Penjelasan itu diberikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM, Syed Yazid Syed Omar susulan tindakan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menahan 50 peratus gaji pemain ekoran prestasi buruk The Reds Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia ketika ini.
Berdasarkan semakan peraturan termasuklah menerusi pandangan pengamal undang undang, Syed Yazid mengesahkan tiada klausa dalam peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan tindakan itu untuk dilakukan.
Selain itu, pengurusan pasukan juga tidak boleh membuang mana-mana pemain atau menamatkan kontrak pemain sesuka hati atas alasan pemain gagal menunjukkan prestasi yang terbaik.
“Saya sudah berhubung dengan bahagian Undang-Undang FAM dan jelas tidak ada peraturan FIFA yang membenarkan pemilik untuk menamatkan kontrak jika tidak berpuas hati dengan prestasi pemain.
“Begitu juga dengan gaji. (Pengurusan) tidak boleh sekat gaji pemain disebabkan oleh prestasi yang tidak memuaskan. Pemilik kena bayar mengikut perjanjian dalam kontrak,” kata Syed Yazid yang juga merupakan Exco FAM.
Katanya, pasukan hanya dibenarkan membuang pemain atas masalah disiplin dan tingkah laku melampau, namun pengurusan tetap perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Kalau berkenaan prestasi pemain, memang tidak boleh sekat gaji pemain ataupun buang. Tetapi jika pemain melanggar disiplin atau bertindak kasar, pengurusan boleh keluarkan surat amaran terlebih dulu untuk meminta pemain berubah jika tidak mahu berdepan penyingkiran,” ujarnya.
Namun begitu, sekiranya pihak pengurusan kelab bertegas untuk membuang pemain, pemilik kelab perlu berbincang atau mendapatkan persetujuan secara bersama.
“Kalau tetap tak mahu pemain juga, boleh (untuk buang) tapi perlu dapat persetujuan secara bersama dan bayar baki kontrak.
“Malah, pemain boleh bermain pasukan lain sekiranya dua bulan gaji tertunggak dan memberi notis 15 hari kepada majikan tidak mampu untuk bekerja,” jelasnya.
No comments
Post a Comment