NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiasa sebab SPRM terus beku akaun Bersatu

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik sitaan yang dikenakan ke atas akaun parti itu sebelum ini.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan pembekuan akaun parti itu perlu dihentikan selepas Bersatu disahkan tidak menerima dana daripada mana-mana syarikat perjudian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Sudah amat patut pembekuan akaun parti dilepaskan kerana Bersatu tidak menghadapi apa-apa tindakan atau pendakwaan di mahkamah.

“Parti Bersatu adalah entiti berbeza daripada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan dakwaan di mahkamah. Jadi kenapa akaun parti perlu disita dan apa dosa ahli kami?” katanya pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai Pesanan Menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyatakan tidak ada satu pun petanda bahawa perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berhubung dakwaan itu betul.

Menurutnya, Bersatu secara konsisten sejak awal menyatakan parti itu menerima sumbangan untuk PRU-15 tetapi tidak menerima apa-apa dana daripada mana-mana syarikat perjudian.

Katanya, perkara itu telah disahkan sendiri oleh SPRM dan rakyat sendiri dapat membuat penilaian berkenaan isu tersebut dan tahu siapa yang mula-mula mengeluarkan dakwaan itu.

“Perkara ini telah dinyatakan lebih awal dan kini semuanya sudah jelas. Saya rasa ia boleh ditamatkan dan tidak perlu lagi dibincangkan.

“Apa salahnya Bersatu menerima sumbangan? Kami pelik kerana bendera parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang turut ambil bahagian dalam PRU tidak kurang daripada Perikatan Nasional (PN). Dari mana pula mereka dapat duit sumbangan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, dakwaan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya adalah fitnah dan tuduhan serius.-UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo