Kejayaan anak Malaysia Muhammad Sofian Abdullah atau Sofyank menjuarai Ultimate VFX Challenge di Los Angeles, California, Amerika Syarikat membuka mata ramai bahawa negara banyak bakat kreatif yang tidak pernah tandus.
Kalau ‘kena’ dengan gaya, tidak mustahil sesiapa sahaja mampu membina nama dalam bidang diceburi. Asalkan ada kesungguhan dan pandai mencari peluang, pasti kejayaan luar biasa terbentang di depan mata.
Apa yang diraih Sofyank tidak datang bergolek. Dia bermula daripada kosong, sehinggalah perlahan-lahan bakatnya dihidu personaliti YouTube global, Zach King apabila menjadi juara pertandingan suntingan kesan khas visual bulanan anjuran figura terbabit.
“Masa saya mula dapat jemputan untuk ke Los Angeles, hati rasa sangat gembira dan macam tak percaya dapat peluang itu.
“Bila diumumkan menang Ultimate VFX Challenge, apa yang ada dalam fikiran nak sampaikan berita ini kepada semua orang di Malaysia.
“Kemenangan yang saya raih ditujukan buat kalian yang sokong dari dahulu sampai sekarang,” kata Sofyank.
Kejayaan anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tidak akan tercerna andai dia tidak berani mencuba sesuatu baharu dan bersaing dengan komuniti yang lebih besar di luar negara.
Situasi itu adalah sama seperti apa yang dialami seniwati kebanggaan negara, Michelle Yeoh yang menjadi anak Malaysia dan orang Asia pertama menang trofi Oscar, Mac lalu.
Kata Michelle, kalau ingin berjaya dan mahu dalam bidang diceburi perlu ada kesungguhan untuk mencuba sesuatu yang lain dan berani mendepani cabaran masa depan.
“Orang kita selalu letakkan diri dalam kotak dalam zon selesa. Kalau buat filem misalnya, ia harus bersifat atau dipasarkan ke peringkat global.
“Apabila itu berlaku, barulah kita boleh bercakap tentang ‘bahasa global’.
“Saya yakin, ramai pembikin filem luar biasa di negara ini. Pertama sekali, cari peluang. Kemudian bina plaform yang boleh menonjolkan bakat-bakat yang ada,” kata Michelle ketika pulang bertemu media tempatan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Betul apa yang dilontarkan Michelle. Jangan sampai bakat orang tempatan diagung-agungkan di negara luar, barulah segala claim itu dan ini ingin diutarakan.
Pendapat berjisim sama dilontarkan Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015, Bront Palarae.
“Malaysia memang banyak bakat kreatif. Banyak kali saya cakap.
“Buat anak-anak muda, pesan saya, akan ada banyak peluang di mana-mana sahaja. Kita tak ketandusan bakat, cuma barangkali, kita ketandusan bagaimana untuk menterjemahkan bakat.
“Benda yang paling sudah adalah bukan nak cari kaca atau pertama. Orang yang nak bezakan antara kaca dan permata, dia sendiri tahu tak mana satu kaca permata,” jelas Bront.
Apa yang ingin disampaikan melalui tulisan picisan ini adalah, Malaysia sebuah negara yang sangat bertuah didiami penduduk berbilang kaum. Kelebihan itu perlu digunakan sebaik mungkin dengan sentiasa mencari peluang di peringkat global.
Untuk itu berlaku, kerajaan perlu melihat industri kreatif sebagai sebuah sumber ekonomi seperti mana Korea Selatan bergantung ‘kukuh’ terhadap bidang muzik dan filem mereka yang menarik pelaburan berbilion dolar.
No comments
Post a Comment