NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa penyakau yang mundurkan tiga negeri Melayu?


VETERAN
DAP, Lim Kit Siang sebagaimana biasa dan seperti kebanyakan pimpinan lain parti itu, sentiasa menjadikan PAS dan negeri-negeri diterajui Parti Islam ini sebagai sasaran.

Tidak cukup dengan sindiran dan perlekehkan yang meremehkan serta merendah-rendahkan, adakalanya diserang secara semberono dengan perspektif berat sebelah, keliru dan songsang.

Minggu lalu, Kit Siang kembali panas dan koyak apabila agenda Penyatuan Ummah disambut Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui Proklamasi Orang Melayu diusahakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bertambah melenting apabila Tuan Guru masih mengulangi kenyataan bahawa kalangan bukan-Islam dan bukan-Melayu paling besar dan banyak penyakaunya, serta paling ramai kaya-raya penyumbang dan penerima rasuah.

Walhal, Presiden PAS itu sudahpun melalui proses siasatan oleh pihak Polis, malah kenyataan tersebut terbukti dengan data dari jurnal penyelidikan universiti yang tular setelah itu.

Lalu dengan bebalnya, Kit Siang menempelak Kelantan, Terengganu, dan Kedah sebagai tiga negeri dengan kadar pembangunan paling perlahan di Malaysia dalam tiga dekad yang lepas sejak 1991.

“Adakah perkara ini terjadi kerana negeri-negeri ini ditipu oleh perompak yang ‘memberi dan menerima rasuah’?” soal beliau dengan mengemukakan bahawa negeri-negeri tersebut berada pada KDNK tercorot setakat tahun 2020.

Tidak pasti Kit Siang yang telahpun mengumumkan persaraannya buat-buat lupa atau mabuk bahawa sebahagian besar masa lalu negeri-negeri tersebut khususnya Terengganu dan Kedah berada di bawah pentadbiran Umno-BN.

Umno-BN yang pernah berkuasa lebih 60 tahun dan menjadi sasaran keras DAP selama itu untuk dijatuhkan, serta dilempar palit dengan pelbagai kenyataan celupar dan cabul seperti ‘perompak, penyamun dan kleptokrat’.

Tetapi kini menjadi rakan yang mewangi dan dipuji puja serta bersih suci kerana bersama menerajui kuasa Persekutuan dan di beberapa negeri dalam Kerajaan Perpaduan?

DAP sendiri hakikatnya memiliki jawapan untuk Terengganu dan Kedah itu mundur, melainkan sengaja buta pekak tuli setelah menemui ‘persamaan’ Umno-DAP dalam Kerajaan PH-BN ketika ini.

Uncle Lim,

‘Kelantan mundur’ itu telah diratib menjadi propaganda politik Umno-BN sejak sekian lama khususnya dari tahun 1990 apabila Angkatan Perpaduan Ummah (PAS-S46) berjaya menerajui negeri ini.

Anda juga mengetahuinya, bahkan sebelum itu pernah membela Kelantan kerana pengisytiharan Darurat yang dibuat ke atas negeri ini tahun 1977 merupakan satu campur tangan dan tekanan politik.

Malah, anda juga ketika DAP bersama PAS dalam GERAK, BA dan PR dahulu, sangat mengetahui bahawa negeri ini dipinggir dan diabaikan serta dianaktirikan pemerintah Umno-BN di Persekutuan.

Selain sebagai orang lama berada dalam Dewan Rakyat, anda pasti menyaksikan banyak perbahasan mengenai Kelantan dan pembangunan wilayah tidak seimbang menjadi punca semua momokan itu.

Sejak 1990 itu, bukan sahaja kelulusan-kelulusan projek pembangunan dan infrastruktur sepatutnya diadakan di negeri ini ditangguhkan, malah juga dibatalkan dan sudahnya mereka sendiri menjelik ‘Kelantan mundur’.

Lucu kan? Tapi kini, anda pula dengan bebas dan celupar mengejek dan mengeji negeri ini dengan ungkapan serupa pernah dimainkan Umno-BN untuk kami dipandang kolot, bodoh dan tidak tahu mentadbir?

Uncle Lim,

Anda sendiri pasti tahu bahawa Kelantan dan Terengganu adalah antara empat negeri selain Sarawak dan Sabah yang menjadi penyumbang besar pendapatan negara menerusi petroleum.

Tetapi sehingga ke hari ini, janji royalti pernah ditandatangani termasuk hasil berkaitannya tidak tertunai dengan baik hinggakan semua negeri tersebut masih mengemukakan tuntutan-tuntutan.

Untuk makluman, Kelantan sendiri hanya menerima kurang 2 peratus daripada jumlah sepatutnya diperolehi berdasarkan perjanjian, tetapi dihadapkan dengan pelbagai alasan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini belum termasuk hasil-hasil pertanian yang menjadi sumber penting makanan rakyat Malaysia datangnya dari lebihan sara diri (SSL) Kelantan dan Terengganu memenuhi keperluan di negeri lain.

Kedah pula selaku Jelapang Padi Malaysia terus menyumbang sebahagian besar beras yang menjadi ruji rakyat, termasuk membekalkan air mentah untuk Pulau Pinang dengan memelihara kelestarian aliran Sungai Muda.

Nah, inilah pemilikan dan ‘kuasa’ yang ada pada negeri anda katakan mundur itu, tetapi mereka tidak sombong untuk berkongsi dan berkorban dengan seluruh Persekutuan ini, demi kepentingan bersama.

Uncle Lim,

Ungkapan berbaur penghinaan anda hamburkan kepada negeri-negeri tersebut tidak meruntuhkan atau menyebabkan ke belakangnya semua kesungguhan yang sedang dibangunkan di bawah pentadbiran PAS ketika ini.

Biarkan anda terus seperti ‘katak di bawah tempurung’ yang buat-buat tidak tahu akan kebangkitan negeri kami, tetapi gagal melihat negeri diperintah sendiri umpama ‘kokok berderai-derai, ekor penuh tahi’.

Hakikatnya, di sebalik pemunduran yang dipaksakan ke atas negeri-negeri kami, negeri dikuasai dan negeri-negeri cuba dikuasai anda menerima kemajuan antaranya dari peranan para penyakau dan perasuah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ada mengupas serta mendedahkan percaturan muslihat tersebut yang disebutnya ‘grand designed’ mewujudkan ‘The Greater Klang Valley’ dan ‘The Greater Penang’.

‘The Greater Klang Valley’ melibatkan Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan untuk dijadikan pusat pertumbuhan yang akan membawa pelbagai limpahan di negeri-negeri tersebut.

Manakala ‘The Greater Penang’, semua prospek pembangunan dan rancangan masa depan serta kebijakan dibawa untuk menjadi pusat pertumbuhan yang akan membawa limpahan ke seluruh kawasan Utara.

Uncle Lim,

Akuilah, bahawa pertumbuhan ekonomi dan pencapaian KDNK Pulau Pinang yang diperintah DAP ketika ini adalah disumbangkan daripada negeri-negeri Utara lain khususnya Kedah.

Kerana segalanya terpaksa melalui lapangan terbang dan pelabuhan di Pulau Pinang; di mana adakah sebab itulah juga melalui Kerajaan Madani, usaha Kedah membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak diberikan pertimbangan?

Dengan dolak-dalih termasuk oleh Menteri Pengangkutan yang juga dari DAP, entah bagaimana pula nasib Pelabuhan Yan yang telahpun diisytiharkan sebagai Pelabuhan Persekutuan sebelum ini?

Sebagaimana perangai dengki, khianat dan sabotaj Umno-BN, tidak mustahil di bawah kuasa yang kamu ada akan cuba juga memundurkan perancangan dan usaha hebat telah diadakan itu.

Begitu juga jika Pulau Pinang yang maju dibandingkan dengan Kelantan kamu kata mundur itu di mana masing-masing menunjukkan indikasi pencapaian dan integriti pentadbiran. 

Berpandukan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 diterbitkan September 2022 yakni yang paling terkini, pendapatan Kelantan adalah sebanyak RM773.48 juta berbanding Pulau Pinang cuma RM692.24 juta.

Kelantan berbelanja RM725.87 juta, sekali gus memiliki lebihan (surplus) yang merupakan untuk tahun keenam berturut-turut, berbanding belanja Pulau Pinang RM836.48 juta iaitu mencatat defisit untuk beberapa tahun berturutan.

Menariknya, di sebalik penyata Kelantan lebih baik itu, kedengaran kecurigaan di pihak-pihak tertentu, adakah penyata Pulau Pinang itu wujud ‘muslihat’ berlakunya ‘smart accounting’?.

Di mana mungkin sebahagian hasil negeri atau keuntungan telah dimasukkan atau diagihkan melalui syarikat atau sub-kontraktor tertentu menjadi perolehan kaya-raya untuk mereka?

Uncle Lim,

Terserah kepada pihak berkuasa lebih berautoriti untuk menyiasatnya, namun syak dan keraguan tersebut antara boleh dijadikan jawapan ditanya anda mengenai kemunduran serta peranan dan siapa penyakau tersebut.

Sebagai ingatan untuk anda, Kelantan sudah lebih 30 tahun merekodkan pencapaian bersih pemerintahan Kerajaan Negeri sifar rasuah, Pulau Pinang pula bingit seketika dengan skandal rasuah ‘coklat’ terowong dasar laut dan banglo dari hanya baru beberapa penggal.

Bahkan laporan semasa menunjukkan rasuah dalam penjawat awam meningkat di Pulau Pinang dan Selangor, di mana bolehkah kita meneka, ia tidak akan berlaku di peringkat bawah jika di atas tidak melakukannya? 

Kami juga buktikan kesejahteraan hidup rakyat sebagaimana Indeks Kebahagian pernah dikeluarkan sebelum ini, sedangkan Pulau Pinang mengusir rakyatnya sendiri dengan menaikkan pembangunan super mewah.

Malah, kadar jenayah di Kelantan tidak seteruk rekod di Pulau Pinang, itupun terdapat banyak masalah moral melibatkan pelacuran, peminuman arak, pengambilan dadah dan lain-lain tidak direkodkan di pulau itu.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/5/2023


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo