NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Satu keluarga Malaysia masih terperangkap di Sudan

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir


KUALA LUMPUR – Wisma Putra sedang mengerakkan usaha mengeluarkan satu keluarga warga Malaysia yang masih terperangkap di Sudan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, keluarga terbabit terdiri daripada seorang ibu dan dua anaknya warga Malaysia bersama suami yang merupakan rakyat Sudan.

Menurutnya, Wisma Putra memperoleh maklumat berkaitan keluarga tersebut pada 30 April lalu.

“Maklumat diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Sudan. Keluarga ini tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

“Bagaimanapun, usaha membawa mereka keluar dari Sudan sedang diusahakan oleh Task Force Ops Sudan,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, keluarga tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka akan tiba hari ini.

Kementerian sedang memohon bantuan Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya keluarga tersebut dapat menaiki kapal untuk membawa mereka keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa yang terdekat.

“Insya-Allah kita sama-sama doakan usaha ini dipermudahkan dan mereka akan selamat tiba di tanah air nanti,” kata Zambry.

Selain keluarga berkenaan terdapat dua lagi rakyat Malaysia berada di Sudan.

Mejar Zazalina Ghazali dan Lt. Kdr. Naadifarin Che Kamaruddin
kini sedang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei, Sudan.

“Mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah Abyei tidak terjejas teruk oleh pertempuran di Sudan.

“Jika keadaan memerlukan proses membawa keluar kedua-kedua rakyat Malaysia ini akan dikendalikan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini telah berjaya membawa pulang pulang 30 orang rakyat Malaysia ke tanah air pada 28 April 2023 menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV834).

Ini termasuk seorang warga Filipina yang merupakan pembantu rumah, seorang warga Palestin yang merupakan bapa kepada empat orang rakyat Malaysia dan seorang warga Thailand yang bertugas dengan Petronas.

Pertempuran di antara tentera Sudanese Armed Forces (SAF) dengan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus sejak 15 April 2023 masih berterusan dan dilaporkan sengit.

Gencatan senjata telah diusulkan oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan
Afrika (AU), kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat serta Arab Saudi masih gagal.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Sudan, 528 orang telah terbunuh manakala 4,599 orang tercedera.

Hampir kesemua negara asing telah menjalankan proses evakuasi staf-staf Kedutaan serta rakyat mereka keluar dari
Sudan.

Antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar, Jepun, Perancis, India, United Kingdom, China, Mesir, Jordon dan Iran.-MalaysiaGazatte




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo