JERAI: Para pemimpin Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak membaling batu ke rumah orang lain sekiranya kediaman sendiri diperbuat daripada kaca, demikian amaran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menjawab pertikaian berkaitan projek RM40 bilion di Langkawi yang pernah diumumkannya, kata beliau projek itu adalah pelaburan swasta untuk 15 tahun dan terserah kepada pihak tersebut membangunkannya.
Bidasnya, para pemimpin tersebut sepanjang 22 bulan sebagai Exco dalam Kerajaan Negeri Kedah diterajui PH, tidak memberikan sebarang hasil untuk negeri ini melainkan hanya pandai bercakap sahaja.
Antaranya dedah Sanusi, dalam pengurusan bola sepak negeri itu PH telah meninggalkan hutang apabila gaji pemain tidak bayar sebanyak RM16 juta, manakala sumbangan RM50,000 bagi satu kes dihadapi, namun yang masuk akaun cuma RM10,000 sahaja.
Manakala seorang lagi bekas Exco di zaman itu juga yang kini sibuk menjaja isu air, dedahnya telah gagal memberikan jawapan kepada soalan-soalan dikemukakan beliau di Sidang DUN Kedah.
“Tiga kali Sidang, tiga kali saya tanya tentang bekalan air, sekali pun dia tak pernah jawab, tak pernah jawab. Saya tanya Exco, adakah kerajaan berhasrat untuk menyambung konsesi AUI di LRA Pelubang yang dipegang oleh Vincent Tan?
“Tak jawab, pasal apa? Dia tak berani buat keputusan. Saya minggu yang pertama kita ambil alih kerajaan, tamat saja agreement perjanjian konsesi dengan AUI, terus tamat sampai la ni. Tak berani, pasal itu taikun besar.
“Pasal apa penting untuk menamatkan AUI? AUI menguasai 63 peratus bekalan air terawat di Kedah, dia menguasai lima loji terbesar di Kedah, dia menguasai konsesi selama 30 tahun, telah menghisap darah daripada bekalan air 30 tahun.
“63 peratus air terawat kena beli dekat dia. Kita beli dekat dia 43 sen, kita jual 50 sen, untung 7 sen, tiris setengah, rugi sebakul. Rugi. Dia ini rawat dia caj, ayaq itu sampai ke tak sampai kepada pengguna, kerajaan negeri tanggung.
“PKR ini takut dekat taikun, dia takut dekat orang kaya. Hari ini jadi kerajaan kononnya nak bela orang miskin. Tetapi mereka ini pembela orang kaya. Di peringkat negeri, peringkat Persekutuan, mereka bukan pembela orang miskin.
“Mereka berkawan dengan orang kaya, pasal itu ketua dia kempen pilihan raya naik helikopter. Siapa taja helikopter dia? Orang kaya. Dia berkawan dengan orang kaya, hari ini dia kata nak menoktahkan kemiskinan, dia tipu,” ujarnya menggesa dinyatakan perbelanjaan penggunaan helikopter itu.
Sanusi juga memberitahu, semasa Kedah diperintah oleh Umno-BN, apabila Kerajaan Negeri membuat audit pada tahun 2008, hutang bekalan air diambil alih adalah sebanyak RM2.4 bilion.
Menurutnya, sejak 17 Mei 2020 apabila diberi amanah sebagai Menteri Besar, yang beliau fikirkan ialah untuk menjadikan negeri ini lebih baik, lebih maju, lebih membangun, boleh diduduki, didiami berteduh oleh orang miskin dan orang kaya menabur bakti.
Akhirnya, beliau tidak memikirkan untuk berpolitik, melainkan bekerja untuk negeri antaranya termasuk menyelesaikan banyak tanah dan kampung orang Melayu yang sudah diduduki lebih 30 tahun tetapi berstatus tanah hutan simpan.
“Cabut keluar bagi geran. Saya sudah buat keputusan sebelum ada masalah. Dalam tempoh tak sampai tiga tahun ni kita telah serahkan geran tanah 5,417 keping kepada pemilik tanah.
“Tanah Jabatan Hutan di Sik, kampung itu dinamakan Kampung Seri Dacing sejak tahun 1981 duk harap kat Umno beri geran. Bergayutlah di kaki kepala pemimpin. Harap nak geran tanah sekeping, 40 tahun bergayut di kaki pemimpin Umno. Sedih tuan-tuan.
“40 tahun sebahagiannya telah meninggal dunia. Sebahagiannya telah berpindah ke tempat lain cari kehidupan. 40 tahun tak dilayan, nama kampung itu Seri Dacing. Tak sampai tiga tahun ni tuan-tuan, mereka telah diberi hak milik seorang satu.
“Kampung tu saya tukar Kampung Sejahtera. 280 penduduk. Hangpa ingat sikit? Ramai. Dan masih ramai rakyat di Kedah mendiami tanah-tanah seperti itu, di Langkawi ada empat lima kampung, sampai sekarang ni tak ada geran.
“Saya telah arahkan pada minggu yang kedua, kampung di Langkawi cabut keluar daripada tanah hutan simpan, jadikan mereka tanah yang ada geran untuk mereka pegang bekal untuk mereka wariskan kepada anak cucu orang Langkawi,” kongsinya.
Sanusi juga menyindir kembali pemimpin PH yang mengatakan beliau ‘loqlaq’ bahawa dirinya tidak pernah ditangkap kerana bersama isteri orang lain di bilik hotel dan menyeru supaya fitnah PH terus dilawan. – HARAKAHDAILY 14/5/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment