NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rundingan kerusi ujian sebenar kerjasama BN, PH hadapi PRN



Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka berlangsung sekitar Jun atau Julai ini bakal menjadi ujian sebenar bagi mengukur tahap kesepaduan dan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan.

Formula agihan kerusi antara BN dan PH akan digunakan mereka, bakal menterjemah keikhlasan masing-masing untuk saling berkompromi, khususnya dari sudut perkongsian kuasa politik membabitkan parti utama menerajui kerajaan ketika ini.

Ketika belum pun rundingan kerusi bagi menghadapi PRN enam negeri dibincang secara rasmi, khususnya membabitkan pemimpin utama parti dalam Kerajaan Perpaduan, bibit pertelagahan antara pemimpin BN dan PH sudah mula kedengaran dengan jelas.

Beberapa isu berbangkit mutakhir ini secara tak langsung menonjolkan situasi renggang atau 'permusuhan kecil' sudah mula wujud dalam kalangan pemimpin kedua-dua gabungan parti utama kerajaan ketika ini.

Contohnya dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, wujud perbalahan ketara dalam kalangan pemimpin DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) serta UMNO.

Pemimpin parti ini saling menyerang dan mengkritik ketika permohonan pengampunan Najib seharusnya dibiarkan berjalan mengikut proses perundangan biasa. Namun kini, ia seakan menjadi senjata politik pihak tertentu untuk mencetuskan provokasi dan menyerang rakan seterunya sendiri.

Tidak kurang juga kekusutan persefahaman dipercayai masih gagal dinoktahkan di negeri diterajui secara bersama gabungan Kerajaan Perpaduan seperti di Johor, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang.

Hingga kini, banyak persefahaman politik belum mencapai tahap memuaskan. Ini termasuk dalam soal agihan jawatan peringkat negeri dan daerah seperti pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, ahli majlis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua kampung dan peruntukan khas kepada wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada dari PH atau BN.

Terbaharu, isu peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dibangkitkan Pemuda UMNO, juga mengundang rasa kurang senang pihak tertentu, khususnya kalangan pemimpin mewakili masyarakat Cina dalam kerajaan atau dalam kata lain DAP.

Jika situasi ini berterusan ketika tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) enam negeri ini dijadual berakhir akhir bulan ini atau awal Jun, ia memberi risiko besar terhadap masa depan gabungan politik dibentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 Rundingan dijangka tempuh situasi sukar  

Kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa urusan berkaitan pembahagian kerusi akan dibincang selepas pembubaran DUN dijangka berlaku dalam tempoh beberapa minggu ini, memberi isyarat jelas, proses rundingan kelak bakal menempuh situasi sukar, terutama di negeri secara jelas dikuasai gabungan parti tertentu.

Contohnya PH di Selangor dan Pulau Pinang. Di dua negeri ini, realitinya UMNO memang mengharapkan ihsan PH, selepas mereka gagal meraih kemenangan di banyak kerusi DUN sejak pilihan raya 2008.

Mengambil pendirian bersama PH dan BN kerusi penyandang DUN pada PRU14 akan kekal ditandingi parti menang, maka jelas di sini, UMNO memerlukan kompromi besar PH untuk menyerahkan sebahagian kerusi DUN khususnya dimenangi mereka sebelum ini kepada UMNO serta BN.

Kemahuan ini jelas, terutama selepas Pemuda UMNO Selangor secara terbuka menyatakan hasrat parti itu untuk bertanding di 22 kerusi DUN Selangor pada PRN akan datang. Selangor kini dikuasai PH menang di 51 daripada 56 DUN pada PRU14, sementara BN hanya memenangi empat kerusi dan PAS satu.

Walaupun BN dan UMNO menuntut sebahagian besar kerusi BERSATU di Selangor, hakikatnya kerusi itu pada PRU14 dimenangi PH. Sementara di Pulau Pinang, negeri ini dikuasai DAP. Penguasaan mutlak DAP di Pulau Pinang sejak 2008 menyukarkan peluang BN, khususnya MCA untuk bertanding di lebih banyak kerusi di negeri berkenaan. 

Ketika ini, PH memiliki 33 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, manakala BN dua kerusi, iaitu DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan dan PAS mempunyai satu kerusi iaitu Penaga. Selebihnya, kerusi DUN kosong selepas penyandang diarah mengosongkan kerusinya selepas didakwa melompat parti.

Kenyataan terbaharu Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa semua ADUN PH di negeri itu mahu mempertahan kerusi masing-masing pada PRN akan datang, secara langsung menzahirkan pendirian mereka untuk tidak menyerahkan sebahagian besar kerusinya kepada MCA.

Nasib BN dan UMNO mungkin sedikit baik di Negeri Sembilan, memandangkan hanya gabungan PH dan BN menguasai keseluruhan kerusi DUN di sana. Namun, PH masih mendahului dengan 20 kerusi, berbanding 16 dimiliki BN ketika ini.

Justeru, jika kompromi BN-PH mengenai agihan kerusi kurang memuaskan, dengan BN tidak mendapat peluang sebaiknya untuk bertanding di lebih banyak kerusi di Selangor dan Pulau pinang, maka harapan mereka kini bersandar kepada baki tiga lagi negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Namun, mengambil kira rekod keputusan PRU November lalu, negeri terbabit dikuasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN). BN khususnya UMNO mencatat keputusan terburuk dalam sejarahnya selepas kalah di semua kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada PN. 

Rekod PRU terdahulu menunjukkan, AMANAH dan PKR turut meletakkan calon bertanding di tiga negeri ini, baik pada peringkat Parlimen mahupun DUN. Oleh itu, rakyat akan menilai sejauh mana hasil kejayaan rundingan kerusi DUN di enam negeri ini, khususnya membabitkan PH dan BN.

Jika berjaya, ia membuktikan keutuhan mereka untuk terus bekerjasama. Namun, jika gagal dan siri perbalahan semakin berterusan, maka hayat Kerajaan Perpaduan bakal menjadi taruhan.

Penulis adalah Wartawan BH


Sumber I BH Online



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo