NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ramasamy bimbang kebangkitan Orang Melayu melalui Proklamasi Orang Melayu



Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy bimbang melihat kempen Proklamasi Orang Melayu yang mendapat sambutan orang ramai kerana ia boleh menjatuhkan kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramasamy mengkritik Proklamasi Orang Melayu selepas melihat pemimpin Perikatan Nasional (PN) menandatangani kempen yang dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad itu baru-baru ini dengan mendakwa ia satu propaganda politik untuk menjatuhkan kerajaan campuran.

Katanya, proklamasi 12 perkara itu bertujuan menyelamatkan orang Melayu itu amat ironi, kerana ia dicetuskan dan disokong pemimpin yang telah mengecewakan orang Melayu sebelum ini.

Proklamasi itu yang ditandatangani beberapa pemimpin PAS baru-baru ini, mengandungi 12 perkara untuk menyelamatkan orang Melayu di negara ini dan menggesa perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi tujuan itu.

“Ironinya, orang yang menjadi sumber pengisytiharan ini dan mereka yang menandatangani proklamasi itu adalah pemimpin sama yang telah mengecewakan orang Melayu selama beberapa dekad.

“Dr Mahathir walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri selama dua dekad, tidak pernah berusaha secara serius untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.

“Namun, sebagaimana seluruh dunia sedar, retorik perkauman dan agama telah digunakan dan dimanipulasi oleh Dr Mahathir untuk memperkayakan ahli keluarga dan kroninya.

“Sekiranya Dr Mahathir dan pemimpin PAS begitu tekad untuk memartabatkan orang Melayu, apa yang telah mereka lakukan selama ini?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, tular gambar menunjukkan pertemuan antara Mahathir dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai berlaku malam kelmarin di kediaman bekas Perdana Menteri itu, yang turut disertai beberapa pemimpin PN dan sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Dalam perkongsian di media sosial semalam, PAS mengakui pertemuan itu adalah bagi parti itu menyatakan sokongan kepada program Proklamasi Orang Melayu.

Antara yang hadir adalah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, selain Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya dan Pengerusi Biro Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, mempersoalkan mengapa Dr Mahathir, tidak menggunakan ‘kuasa diktator maya’ ketika menjadi Perdana Menteti selama lebih 22 tahun untuk melakukan sesuatu yang memberi impak bagi menaik taraf sosial dan ekonomi orang Melayu.

“Dr Mahathir berpendapat beliau seoranglah yang dapat menyelamatkan orang Melayu daripada penindasan dan kezaliman, tetapi dia mudah lupa, kadang-kadang sengaja dilupakan, bahawa dia adalah pemimpin yang gagal menyatukan orang Melayu,” katanya.

Beliau turut melontarkan soalan sama kepada PAS yang telah memerintah Kelantan dan Terengganu selama puluhan tahun, namun masih gagal mengangkat status orang Melayu di dua negeri itu yang didakwa ‘begitu miskin’, selain penduduk di Kelantan masih dihimpit isu air bersih.

Disebabkan itu, katanya, Dr Mahathir dan Abdul Hadi disifatkan sebagai tidak sesuai untuk bercakap tentang perpaduan Melayu atau untuk memartabatkan orang Melayu.

“Proklamasi Orang Melayu tidak lain selain propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu untuk menggugat dan menjatuhkan kerajaan perpaduan.

“Pengisytiharan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan memartabatkan orang Melayu,” katanya.


Sumber I Agenda Daily



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo