MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membidas pihak yang meletakkan kesalahan di bahu kerajaan negeri itu kononnya perlu bertanggungjawab terhadap kecuaian memantau baraj Sungai Muda sehingga berlaku kerosakan dan menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, kerajaan negeri mahu pun mana-mana agensi di bawahnya tidak terlibat langsung dengan baraj tersebut kerana ianya diuruskan oleh Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) yang berada di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai agensi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Katanya, NRECC yang sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan PLSM yang dipercayai cuai ketika bertugas walaupun telah dimaklumkan oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mengenai paras air yang semakin menurun.
“PLSM bukan agensi kerajaan negeri tetapi yang sering disalah faham dan dibina naratif adalah kegagalan kita kawal selia baraj itu sedangkan ianya 100 peratus dibawah PLSM. Bukan di bawah Lembaga Sumber Air Kedah (LSAK); SADA mahupun Pejabat Menteri Besar Kedah.
“Tapi oleh kerana dia berada di negeri kita, jadi kita terima keadaan itu sebagai kecuaian di pihak PLSM. Saya telah hadir mesyuarat lembaga pengarah LSAK dan di atas kecuaian itu, PLSM khususnya NRECC patut ambil tindakan kepada pihak yang bertugas pada waktu itu kerana cuai.
“Ada pihak yang menuding kejadian ini sebagai kesalahan kerajaan negeri, jadi saya ingin betulkan bahawa tudingan itu salah. Kamu patut tuding ke Putrajaya (NRECC) kerana itu tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau dimaklumkan oleh SADA bahawa agensi itu sudah memberitahu pihak yang menguruskan baraj Sungai Muda sejak pukul 10 malam, Sabtu lalu berkaitan keadaan semasa paras air yang semakin menurun.
“Pukul 12 tengah malam, SADA maklum lagi sekali kerana air terus menurun sehinggalah pukul 7 pagi keesokan harinya baru pintu baraj yang rosak itu ditutup secara manual setelah terbiar terbuka selama 11 jam.
“Saya tanya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang jaga baraj Ampang Jajar sepatutnya setiap dua jam petugas perlu turun memeriksa dan menulis di dalam buku log mereka mengenai berapa keadaan paras air dan bagaimana keadaan pintunya,” katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga telah menyembah maklum mengenai situasi itu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi ini.
Menjelas lanjut, kata beliau, terdapat 14 pintu baraj di Sungai Muda dengan tujuh daripadanya sudah rosak sepenuhnya namun dalam keadaan tertutup, manakala baki pintu baraj masih boleh beroperasi secara manual atau automatik.
“Tapi dalam kejadian baru-baru ini, pintu baraj yang ke-14 itu terbuka sendiri sebanyak 50 peratus kerana sistem pengimbas mendapati ada keperluan untuk berbuat demikian sehinggalah air yang ditakung itu mengalir deras ke lautan tanpa sekatan.
“Saya juga ada baca Ketua Menteri Pulau Pinang yang beritahu kejadian
itu berlaku di sebelah Kedah. Sebenarnya baraj ada di kedua-dua negeri.
Pintu yang boleh dibuka tutup berada di sebelah Kedah dan sebelah
mereka tidak beroperasi langsung. Baraj kita walaupun ada masalah
baru-baru ini masih boleh beroperasi,” katanya.
Oleh BADLISHAH MAT
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment