Datuk Abu Samah Abd Wahab. (Tengah) |
Mahkamah Sesyen Melaka hari ini melepas tanpa membebaskan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab terhadap dua pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM48,811.85.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat memohon agar tertuduh dilepas tanpa dibebaskan susulan representasi yang dikemukakan tertuduh diterima pihak pendakwaan, menurut laporan Bernama.
Mahkamah juga memerintahkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan pasport antarabangsa Abu Samah dikembalikan kepadanya.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Abu Samah hadir di mahkamah hari ini ditemani anaknya Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan ACF dan Naib Presiden PKBM yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) Datuk Amarjit Singh Gill.
Pada 3 Jun 2022, Abu Samah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau sebagai Presiden PKBM didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih syarikat milik anaknya iaitu Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga keseluruhan RM12,750.
Suapan itu didakwa dilakukan melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018.
Bagi pertuduhan kedua, Abu Samah didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan syarikat milik adik-beradiknya, Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd untuk membuat sewaan rumah inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal dengan harga keseluruhan RM36,061.85 melalui 32 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat PKBM dalam daerah Melaka Tengah antara 2013 hingga 2019.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment