BANGI, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memfailkan kehadiran terhadap tuntutan saman fitnah RM150 juta terhadapnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Saman difailkan bekas Perdana Menteri pada 3 Mei lalu adalah bagi menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Anwar di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lalu.
Dengan memasukkan kehadiran itu, ia bermakna Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk menjawab tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Dr Mahathir pada 5 Mei lalu.
Memorandum kehadiran berkenaan difailkan firma guaman Thomas Philip mewakili Anwar pada 16 Mei lalu yang disahkan peguam Aliff Benjamin Suhaimi.
Peguam itu turut memaklumkan bahawa pengurusan kes berkenaan ditetapkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mei ini.
Di bawah undang-undang kes sivil, Anwar sebagai defendan akan memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tindakan undang-undang oleh Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir sebagai plaintif mendakwa ucapan Anwar itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Beliau turut mendakwa kenyataan Presiden PKR itu adalah tuduhan berat yang membawa impak besar terhadap dirinya yang membawa maksud kononnya bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh adalah seorang yang bersifat perkauman.
Bekas Pengerusi PEJUANG itu berkata, kenyataan berkenaan turut bermaksud kononnya beliau individu yang mempunyai kekayaan dalam lingkungan ‘berbilion-bilion’, membawa wang itu ke luar negara; dan mengelak untuk membayar cukai.
Katanya, kenyataan Anwar bahawa kononnya beliau hanya membincangkan soal rakyat selepas ‘kehilangan kuasa’ adalah tidak benar yang bertujuan menjatuhkan imejnya.
Tegas Dr Mahathir, semua kenyataan itu menimbulkan persepsi buruk dan mencalarkan imejnya sebagai negarawan yang mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang disegani di seluruh Malaysia dan dunia.
Selain ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi tauladan RM100 juta, Dr Mahathir turut menuntut perintah antaranya Anwar dengan serta merta menarik balik dan memadamkan kesemua kenyataan itu serta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya. – BERITAHARIAN
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment