NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menghampiri 6 PRN, persefahaman di peringkat akar umbi Umno, DAP masih kabur


Pimpinan Umno dan DAP menggunakan sebaik mungkin peluang untuk menjernihkan hubungan antara satu sama lain sejak pembentukan kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tahun lepas. 

Terbaru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan menyeru ahli dan pengundi partinya di enam negeri yang bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengundi calon DAP di kawasan masing-masing. 

“Perkahwinan” antara Umno yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) dengan musuh politik tradisinya, DAP kini memasuki tempoh enam bulan. 

- Iklan -

Bagaimanapun, apa yang diucap pucuk pimpinan tidak semestinya bergema di peringkat akar umbi kedua-dua parti. 

Pemerhati politik Azizi Safar berkata, sehingga kini persahabatan dengan DAP belum diterjemahkan di peringkat akar umbi.

"Belum ada program-program penerangan secara khusus kepada akar umbi Umno menjelaskan mengapa Umno perlu bersahabat dengan DAP, menyokong calon-calon DAP pada PRN," katanya kepada MalaysiaNow yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang.

Enam negeri bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada pertengahan tahun ini. 

Negeri yang terlibat ialah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor. 

Sebelum ini semasa Perhimpunan Agung Umno, Mohamad Hasan berkata, parti itu memilih bekerjasama dengan DAP kerana parti itu dilihat tidak bermuka-muka dan berpura-pura, dalam satu sindiran kepada PAS.

Kenyataan Ahmad turut dibidas oleh seorang pemimpin Umno Johor yang menyatakan beliau tidak boleh memaksa ahli mengundi calon DAP. 

- Iklan -

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula dalam satu kenyataan lain mengakui sukar untuk memujuk ahli menerima DAP, walaupun tidak mustahil. 

Gabungan parti kerajaan campuran baru-baru ini mengadakan konvensyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mengukuhkan hubungan antara satu sama lain selain membuktikan kekukuhan kerajaan.

Kerajaan campuran sekarang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti kecil lain.

Azizi berkata, respons akar umbi terhadap gesaan Ahmad juga masih dingin. 

“Ramai juga tidak setuju menyokong DAP," katanya. 

Pemimpin Umno dan DAP juga tidak terlepas daripada bertikam lidah antara satu sama lain terutama berhubung isu pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak. 

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching turut meminta ahli parti itu mengundi calon Umno yang di kawasan mereka. 

Masih belum jelas bagaimana akar umbi kedua-dua parti itu akan bekerjasama antara satu sama lain semasa tempoh berkempen kelak. 

- Iklan -

Namun menurut Azizi, jika perkara itu gagal diatasi, ia bakal mendatangkan implikasi bruuk kepada Umno.

"Jika ahli-ahli Umno tidak menyokong calon-calon DAP pada PRN nanti, ia bukan satu masalah besar yang boleh menyebabkan calon-calon DAP kalah bertanding dalam pilihan raya," katanya merujuk kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP.

"Sebaliknya pula jika pendukung-pendukung DAP tidak mahu mengundi atau menyokong calon-calon Umno di kerusi majoriti Melayu, calon-calon Umno boleh kalah."

Azizi berkata, penyokong DAP boleh menjadi faktor penentu kemenangan Umno dalam keadaan pengundi Melayu berpecah kepada dua blok. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pengundi Melayu memberikan undi mereka kepada Perikatan Nasional (PN) yang menerima peratusan undi terbanyak daripada masyarakat itu, diikuti BN dan PH.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo