NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memang sah ada harimau di Felda Ulu Tebrau

Tangkap layar rakaman video memaparkan seekor harimau belang sedang melahap seekor lembu di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU - Kebimbangan penduduk Felda Ulu Tebrau di sini dengan kehadiran harimau terbukti setelah kehadiran haiwan buas itu berjaya dirakam kamera sedang melahap seekor lembu.

Rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan kehadiran harimau di kawasan tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse pada Selasa.

"Rakaman harimau makan seekor lembu di Felda Ulu Tebrau.

"Penduduk sekitar disarankan untuk tidak ke kawasan lapang khususnya malam sehingga arahan seterusnya oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya menerusi hantaran video pendek dalam Facebook miliknya.

Sebelum ini, penduduk di Felda Ulu Tebrau digemparkan dengan dakwaan kemunculan seekor haiwan buas selepas dua bangkai lembu dan tapak kaki haiwan berkenaan ditemukan pada minggu lalu.

Susulan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berhubung dengan pengurus Felda tersebut agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan penduduk daripada ancaman haiwan buas berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya meletakkan kamera dan akan memasang perangkap bagi menangkap harimau itu.

Katanya, Perhilitan pada masa ini sedang membuat pemantauan dan rondaan bersama-sama pihak pengurusan Felda.

Jelas Aminuddin, berdasarkan saiz tapak kaki yang ditinggalkan haiwan tersebut, pihaknya percaya haiwan terbabit ialah harimau dewasa.

Beliau berkata, Perhilitan percaya haiwan buas itu datang dari luar kawasan berkenaan kerana kawasan sekitar Felda terbabit memang tiada harimau.

"Kita percaya harimau ini seekor dan mungkin datang dari hutan di Kota Tinggi. Bagaimanapun, kita terus menasihatkan untuk penduduk agar berhati-hati dan sentiasa mengikut nasihat Perhilitan serta pihak pengurusan Felda," katanya.


Sumber I Sinar Harian 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo