KUALA LUMPUR: Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, tidak perlu menjadi 'ahli nujum' dengan meramal bahawa PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP dalam masa terdekat, tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, sebelum ini mungkin Mohamad Sabu mahu merasionalkan hubungan mereka dengan UMNO dan kini dia mahu mengata parti lain pula.
"Saya fikir, itu hanya sekadar mahu memujuk hatinya sahaja. Sebelum ini dia juga yang selalu menghentam UMNO dengan mengatakan UMNO sebagai parti penyamun, namun tiba-tiba hari ini dia bersekongkol dengan UMNO.
"Jadi mungkin kenyataan beliau itu adalah untuk menenangkan jiwa dia yang kini diserang dan ditempelak oleh penyokong dia sendiri dan orang ramai di luar sana," katanya kepada BH hari ini.
Tuan Ibrahim menjelaskan, kerjasama politik bagi PAS adalah kerjasama dalam perkara yang berlandaskan prinsip parti sahaja.
"Sebelum ini PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP dan PAS sudah tahu apa yang berlaku atau gerak kerja yang diamalkan oleh DAP.
"PAS tetap menolak kerjasama dengan DAP sebagaimana yang menjadi pendirian parti sebelum ini dan itu juga adalah pendirian PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga sekarang," katanya.
Kelmarin, Mohamad Sabu ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 di Kubur Panjang, Pendang, berkata tidak mustahil jika PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP pada waktu terdekat.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PAS sebelum keluar menubuhkan AMANAH, berkata ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ia berlaku kerana PAS kini 'berkawan' dengan musuh politiknya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
"PAS tidak berhak mengkritik mana-mana pakatan politik lain kerana parti itu juga mempunyai rekod bersekutu dengan parti politik lain demi kelangsungan politiknya sebelum ini.
"Jangan jatuh kerana ketakutan terhadap DAP yang ditimbulkan PAS dalam pilihan raya akan datang. Jangan takut mengundi Pakatan Harapan (PH). Percayalah, tidak mustahil Presiden PAS akan laungkan pula 'DAP kawan kita' dalam tempoh dua tiga tahun nanti," katanya lagi.
No comments
Post a Comment