NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majlis Media perlu bebas daripada campur tangan kerajaan

Taufiqurrahman bercakap ketika slot ‘Kelangsungan Media Tradisional Dalam Era Digital’ pada sesi Forum Media bertajuk ‘Masa Depan Media’ sempena Hawana 2023 pada Ahad. - Foto Bernama


IPOH - Majlis Media Malaysia yang sedang dirancang penubuhannya, perlu bebas daripada campur tangan mahupun pergantungan kepada kerajaan, dan ia perlu kekal bebas walaupun jika berlaku pertukaran dalam kepimpinan kerajaan, kata ahli panel Forum Media Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Bercakap dalam Forum Media yang bertajuk Kelangsungan Media Tradisional Dalam Era Digital pada Ahad, Ketua Pengarang Jakarta Post, Taufiqurrahman; Penasihat Kanan Persatuan Pengiklan Malaysia, Mohammad Kadri Talib; Ketua Pegawai Operasi Rev Media Group, Nicholas Sagau, dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindshare Group, Sheila Shanmugam, senada menyokong penubuhan majlis media itu di Malaysia.

Dengan mengambil Majlis Media Indonesia sebagai contoh, Taufiqurrahman berkata, badan itu penting dalam memastikan media negara berkenaan bebas daripada campur tangan kerajaan.

Beliau berkata, majlis media dianggotai enam ahli itu mengendalikan sebarang bentuk fitnah atau aduan daripada orang ramai, di samping menyediakan latihan serta pendidikan kepada wartawan dan badan media.

"Ia adalah satu cara bagi mewujudkan kawalan kendiri antara kita, tanpa melibatkan campur tangan politik daripada kerajaan atau pihak perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, ahli majlis media di Malaysia harus dipilih, dan bukannya dilantik oleh kerajaan.

Beberapa ahli panel forum itu berpandangan dalam mewujudkan Majlis Media Malaysia, ada isu-isu tertentu yang mesti ditangani terlebih dahulu, seperti skop, objektif dan agendanya.

"Adakah kita mahu mewujudkan garis panduan atau mengenakan peraturan? Apa yang perlu kita tangani dan apakah pergantungan itu? Kebergantungan pada badan yang mana? Adakah ia mengenai peraturan? Adakah ia mengenai penciptaan kandungan? Adakah ia mengenai bakat?” kata Sheila pula.

Beliau berkata, menentukan butiran ini akan membantu dalam mendapatkan ahli yang benar-benar berkelayakan menduduki tempat yang tepat.

Semasa ahli panel forum itu bersetuju bahawa majlis media yang dicadangkan itu harus kekal sebebas mungkin, ada juga yang berpendapat masih perlu ada ruang untuk kerajaan bersuara dalam hal ehwal media.

Ahli panel itu turut berbincang sama ada kerajaan harus mengikuti contoh Australia, Indonesia dan Taiwan dalam mewajibkan organisasi berita berbayar Big Tech untuk menggunakan kandungan mereka pada platform masing-masing.

Taufiqurrahman berkata, Indonesia sedang merangka undang-undang yang memerlukan platform media sosial untuk membuat perjanjian perniagaan dengan organisasi berita.

"Saya rasa ini adalah satu-satunya cara yang kita ada untuk kita memiliki masa depan yang mampan bagi menampilkan peluang sama rata buat semua pihak media. Jika tidak, ia akan menjadi persaingan yang sangat sengit, bebas disertai semua, dan jika anda di pihak yang kerdil, anda langsung tiada peluang," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua bersetuju campur tangan sebegini akan berjaya.

"Saya rasa amat sukar untuk mewujudkan peluang sama rata dalam pasaran. Walaupun kita mengubah diri kita, syarikat-syarikat besar seperti Meta (syarikat induk Facebook) dan Google, akan sentiasa berada di sana untuk bersaing,” kata Nicholas.

Beliau berkata, terdapat beberapa model perkongsian pendapatan untuk organisasi berita dan Big Tech, termasuk bekerja dengan platform media sosial, atau meminta Big Tech membayar cukai kepada kerajaan, yang akan disebarkan kepada organisasi berita.

Forum media anjuran bersama Bernama dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abd Razak itu dihadiri oleh wartawan dan ahli akademik dari Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, China, Jepun dan Kuwait.

Hawana disambut setiap tahun pada 29 Mei bagi meraikan wartawan di Malaysia sejak 2018, dengan tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. - Bernama




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo