NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah perintah Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia


Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini memerintahkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin, 48, supaya anak guamnya diperiksa oleh pakar psikiatrik.

"Permohonan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan terdapat asas kuat untuk kesihatan mental anak guam diperiksa oleh pakar psikiatrik.

"Pemerhatian perlu dibuat untuk memastikan sama ada dia layak untuk dibicarakan atau tidak. Pembelaan juga telah mengemukakan lima laporan perubatan antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Type 1 sejak 2007," kata Ariff Azami yang turut mengendalikan kes bersama peguam Nur’Ain Shahiera Khalid.

Menurut Ariff Azami, laporan-laporan itu juga menunjukkan Muhammad Yasin pernah diserang 'simptom manic' yang boleh membahayakan dirinya. 

Ariff Azami berkata laporan terkini yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) turut mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Muhammad Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan peguam bela itu dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah. 

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun untuk sebutan bagi laporan psikiatrik.

Pada 15 Mac lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak permohonan representasi ketiga Muhammad Yasin bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

sumber https://t.me/malaysianowbm


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo