PETALING JAYA: Pas mendakwa tindakan melanjutkan kontrak perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bukti jelas bahawa semua yang Pakatan Harapan (PH) fitnah, keji dan maki ketika musim berkempen pilihan raya hanyalah retorik politik dan tuduhan tanpa bukti semata-mata.
Sehubungan itu, Pas menyeru rakyat Malaysia supaya tidak lagi mempercayai kata-kata fitnah serta janji-janji PH bersama sekutunya Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya bagi enam negeri yang akan datang.
Ketua Penerangannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, sehingga kini mereka tidak dapat membuktikan bahawa Azam bersalah seperti yang didakwa mereka.
“Masih segar dalam ingatan semua mengenai satu perhimpunan jalanan bersejarah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tangkap Azam Baki pada 22 Januari tahun lalu yang menuntut Azam ditangkap dengan serta-merta oleh agensi penguat kuasa, proses undang-undang ke atas beliau bermula dengan segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.
“Antara tokoh politik yang hadir pada ketika itu pula ialah Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda dan Ketua Pemuda AMK pada hari ini merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. Sebahagian ucapan Adam Adli dalam himpunan tersebut berbunyi, “Isu Azam Baki soal institusi, sudah rosak sampai ke akar”.
“Tidak lupa juga kita dengan ucapan pemimpin PKR yang menjadi menteri ketika ini, Rafizi Ramli dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru ketika kempen PRU Ke-15 mengugut bahawa PH akan ‘cari’ Tan Sri Azam Baki berhubung isu pegangan sahamnya sebelum ini jika PH memenangi PRU Ke-15.
“Komitmen serta dedikasi mereka (PH) untuk memburukkan imej serta mengheret Azam ke muka keadilan sebelum ini adalah amat luar biasa. Namun apabila PH berada di dalam kerajaan, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka pula menjadi pihak yang mengekalkan jawatan Azam untuk tempoh setahun yang akan datang’,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Khairil Nizam berkata, seruan supaya tidak lagi mempercayai kata-kata PH kerana semua pihak tidak boleh membiarkan pemimpin yang mengamalkan budaya fitnah-memfitnah, mungkir janji, tidak konsisten dalam berpendirian terus mentadbir negara.
“Kembalilah kepada politik yang matang dan sejahtera iaitu politik nilai dan politik mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN
No comments
Post a Comment