Rakyat berhak mendapat penjelasan lengkap berhubung isu perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS). |
Badan pemantau antirasuah, Transparency International-Malaysia (TI-M) menuntut ketelusan kerajaan dalam menjelaskan soal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Presidennya, Muhammad Mohan berkata sehingga kini masih banyak persoalan mengenai pemberian kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) masih belum terjawab.
Katanya lagi, kerajaan perlu menyahklasifikasi Laporan Penyiasatan Perolehan dan Kewangan yang dibuat di bawah ketua audit negara ketika itu Tan Sri Ambrin Buang.
“Kerajaan tidak seharusnya berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi atau Keselamatan Negara sekiranya rasuah dan salah guna kuasa dikesan.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali menyatakan komitmen tegas beliau untuk memerangi rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus serta integriti dalam sektor awam.
“Memastikan projek LCS tidak terbengkalai adalah penting memastikan mereka yang bertanggungjawab untuk projek bermasalah ini dan mengenakan tindakan ke atas mereka juga adalah penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya antara isu tadbir urus dan ketelusan projek LCS yang masih tidak terjawab:
- Apakah rasional pemberian kepada BNS pada tahun 2011 melalui rundingan terus?
- Adakah bendera merah dinaikkan apabila BNS mula-mula menunjukkan ketidakupayaannya untuk menyampaikan LCS mengikut bajet?
- Apakah tindakan yang diambil untuk menangani bendera merah ini?
- Siapa yang bertanggungjawab untuk meluluskan perubahan kepada spesifikasi reka bentuk daripada LCS pilihan TLDM?
- Adakah terdapat sogokan yang disyaki dalam cara rundingan kontrak dilakukan dan harga kontrak akhir ditentukan?
Pada 26 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Kementerian Kewangan menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan LCS iaitu BNS sebagai anak syarikat kementerian itu.
Namun kata Mohamad, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek yang dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha perbendaharaan dan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan.
Kata Mohan, semakan yang dibuat berkaitan status projek ini mendapati ada beberapa hasil keputusan yang tidak memuaskan.
“Kapal pertama telah dijadualkan untuk dihantar pada April 2019 – selepas empat tahun, tiada satu kapal pun yang diterima.
“Projek yang menelan belanja sebanyak RM9 bilion telah meningkat kepada RM11.2 billion. Kini, TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) hanya akan menerima lima kapal LCS berbanding rundingan awal sebanyak enam kapal,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment