NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenaikan OPR tambah beban rakyat

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil dari kiri: Wendy Subramaniam, Mahathir


KUALA LUMPUR - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu dilihat menambahkan beban peminjam terutama berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) telah memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tidak semua peminjam terjejas, banyak isi rumah terutamanya keluarga berpendapatan rendah mungkin bergelut untuk membayar semula pinjaman.

Menurutnya, pinjaman kadar tetap mungkin memberikan perlindungan kadar faedah tetapi ia selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada pinjaman kadar terapung.

"Peminjam yang memilih pinjaman kadar tetap mungkin membayar kadar faedah yang lebih tinggi daripada mereka yang memutuskan pinjaman kadar terapung.

“Ini adalah satu kebimbangan bagi isi rumah terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, yang mungkin menghadapi kesukaran untuk membayar semula pinjaman.

“Ramai telah bersuara menggesa kerajaan untuk menawarkan program penstrukturan pinjaman atau bantuan pembayaran balik pinjaman untuk membantu keluarga yang menghadapi kesukaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, meskipun kerajaan mengiktiraf kebimbangan peminjam, terdapat keraguan bahawa tidak cukup tindakan diambil bagi menangani beban hutang isi rumah dan ketidakstabilan kewangan.

“Kebimbangan juga telah dinyatakan tentang peningkatan kos sara hidup, pengangguran, dan perbelanjaan yang tidak dijangka, yang semuanya boleh memberi kesan kepada kewangan isi rumah.

“Ada juga yang berpendapat kerajaan harus menangani isu-isu ini secara holistik dan bukannya bergantung semata-mata pada dasar kadar faedah,” ujarnya.

Jelasnya, secara keseluruhan, walaupun langkah itu dilaksanakan dengan niat yang baik, namun ia boleh menambahkan ketidakstabilan kewangan yang didepani oleh majoriti rakyat Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam berkata, keputusan menaikkan OPRmemberi tekanan kepada rakyat yang mempunyai pinjaman.

"Apabila OPR naik, bayaran ansuran bulanan sedia ada kepada pihak bank pun akan naik.

"Keadaan ini akan menyukarkan kehidupan rakyat yang bergelut untuk membayar pinjaman mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa keputusan untuk menaikkan OPR juga akan menjejaskan pasaran saham dan pasaran perumahan kerana harga rumah dan hartanah serta saham biasanya dipengaruhi oleh perubahan OPR.

“Pelabur mungkin akan menjadi lebih berhati-hati apabila OPR meningkat, ia akan menyebabkan harga rumah dan hartanah serta saham jatuh.

"Ini akan menjejaskan situasi kewangan orang yang mempunyai rumah dan hartanah serta saham," katanya.

Beliau menambah kenaikan OPR juga memberi kesan kepada gaji bersih rakyat sekali gus menyebabkan kuasa membeli seperti makanan, kenderaan dan lain-lain akan berkurang.

"Ini kerana rakyat terpaksa membayar kadar faedah pinjaman yang semakin tinggi dan sukar untuk meneruskan kehidupan,” tegasnya.


Sumber I Sinar Harian 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo