BANGI, Selasa – Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan ditutup sementara berikutan krisis berterusan di negara itu yang melibatkan Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera (RSF) sejak 15 April lalu, sekali gus menjadikan pejabat kedutaan kelima yang digantung operasinya di negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebelum ini Malaysia menutup sementara operasi kedutaan di empat negara pasca peperangan membabitkan Afghanistan, Libya, Syria dan Iraq.
Tambah beliau, tempoh penutupan sementara operasi pejabat kedutaan di Sudan itu bergantung kepada keadaan semasa di negara terbabit dan urusan berkaitan kedutaan kini dipindahkan ke Kaherah, Mesir.
“Operasi pejabat kedutaan di Khartoum, Sudan kini ditutup sementara selepas kita berjaya membawa keluar 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di negara itu pada Jumaat lalu susulan pergolakan berterusan ekoran pertempuran dua pasukan tentera.
“Setakat ini, berapa lama tempoh penggantungan pejabat kedutaan di Sudan itu tidak diketahui kerana ia bergantung kepada keadaan semasa di negara tersebut, namun kami akan sentiasa membuat pemantauan mengenainya.
“Bagaimanapun, kami menerima permintaan untuk membuka semula kedutaan Malaysia di Libya tetapi penilaian perlu dilakukan terlebih dulu.
“Susulan itu, pasukan sudah mula dihantar ke negara terbabit bagi menyediakan laporan berhubung keadaan di negara berkenaan dan cadangan pembukaan semula kedutaan di negara terbabit,” katanya.
Sehingga kini, lebih 500 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF yang tercetus pada 15 April lalu.
Zambry berkata, tindakan Afghanistan yang masih belum menetapkan dasar termasuk membabitkan hal wanita, menyebabkan Kementerian Luar belum memutuskan langkah seterusnya dan tindakan hanya diambil selepas hal itu diselesaikan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan kedutaan di Afghanistan, hal berkaitan kedutaan ditadbir pejabat kedutaan berdekatan iaitu di Pakistan manakala bagi negara pasca peperangan lain seperti Libya, Iraq dan Syria pula ditutup sementara sebelum ini sehingga keadaan pulih.
Kerajaan akan membuat keputusan bergantung kepada hasil penilaian dilakukan pasukan pemantau.
Sumber I Tv Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment