Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) kerajaan PH-BN, Datuk Seri Azalina Othman Said. |
UMNO mahu membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah pada mesyuarat Kabinet esok.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata UMNO akan terus berjuang untuk mempertahankan Islam walaupun sudah berada dalam kerajaan campuran yang terdapat DAP, selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri UMNO akan membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada esok hari,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tegasnya, semua menteri UMNO akan membangkitkan perkara ini supaya dapat dibincang pada peringkat Jemaah Menteri.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, isu penggunaan kalimah Allah perlu dikendalikan dengan cermat, memandangkan ia menyentuh sensitiviti agama, kebebasan beragama serta keharmonian rakyat pelbagai kaum.
“Dalam hal ini, penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak terbabit.
“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh, merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan, selain pendekatan bukan perundangan,” katanya.
Semalam dan hari ini, pelbagai pihak terus mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment