Tujuh lelaki warga tempatan turut berada di premis itu dipercayai pelanggan perkhidmatan tersebut. Gambar JIM |
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur ‘port’ menyediakan perkhidmatan urutan dan seks songsang yang dikendalikan warga asing di ibu kota, Selasa lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam serbuan berkenaan tujuh lelaki warga tempatan dipercayai pelanggan turut berada dalam premis tersebut.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada lima orang lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki warganegara Myanmar berusia antara 26 hingga 38 tahun. Salah seorang lelaki Indonesia tersebut merupakan penjaga premis ataupun ‘Daddy’ kepada semua tukang urut.
“Selain khidmat urutan kepada lelaki, mereka juga menyediakan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki.
Tujuh lelaki tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan. Mereka adalah pelanggan yang berada dalam premis pusat urut tersebut semasa serbuan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sindiket itu beroperasi di premis perniagaan dua tingkat di Kuala Lumpur dengan menjadikan tingkat bawah sebagai pusat urut dan tingkat atas sebagai tempat tinggal.
Hasil pemeriksaan awal, Ruslin berkata pihaknya mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan penyalahgunaan Pas.
Katanya lagi, sindiket itu dipercayai telah mula beroperasi sejak tahun lalu dengan mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di media sosial, kumpulan WhatsApp dan kumpulan Telegram.
“Pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan dan gambar-gambar seksi tukang urut lelaki akan dikongsi bagi membuat pilihan tukang urut serta pilihan pakej khas urutan. Penjaga premis ataupun ‘Daddy’ akan memberikan lokasi pandu arah kepada pelanggan.
“Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan. Sindiket ini dipercayai telah mengaut keuntungan hampir RM650,000 hasil daripada perkhidmatan urut dan seks songsang,” katanya.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jabatan ini akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan dan mengesan sindiket-sindiket terutamanya yang melibatkan warga asing atau melibatkan kesalahan Imigresen.
Orang ramai juga diminta untuk terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang melanggar undang-undang dan tidak bermoral supaya tindakan pantas dan tegas dapat diambil.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment