NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FGV catat untung sebelum cukai RM60 juta, hasil langkah pemulihan era PN

Untung FGV pada suku pertama 2023 memberangsangkan.

Sebanyak RM60 juta keuntungan sebelum cukai (PBT) berjaya direkodkan FGV Holdings Bhd (FGV) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023.

Langkah pemulihan FGV bermula semasa era pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ketika itu mengumumkan langkah Pengambilalihan semula pegangan lebih 80% kepentingan di FGV, pelupusan 80% hutang peneroka dan pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP).

Kumpulan perladangan itu melaporkan keuntungan operasi sebelum perubahan nilai wajar dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan rosot nilai sebanyak RM102 juta untuk tempoh yang ditinjau, menurut laporan BH.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Izam Mansor, berkata walaupun lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) semakin berkurangan, serta cabaran lain yang dihadapi oleh kumpulan, pihaknya gembira mengumumkan suku pertama yang menguntungkan bagi 2023.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kumpulan menjangkakan bulan-bulan akan datang tahun ini akan kekal mencabar.

“Kami akan memanfaatkan momentum permulaan ini untuk meneruskan sepanjang tahun dan terus memenuhi jangkaan pemegang taruh kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku pertama 2023, FGV mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM82 juta bagi sektor perladangan.

Operasi huluan sektor itu terkesan oleh margin produk sawit yang lebih rendah berikutan peningkatan 45 peratus dalam kos MSM ke pintu kilang kepada RM2,944 satu tan susulan kos pembajaan, penjagaan, penyelenggaraan dan buruh yang lebih tinggi.

Walaupun kekurangan tenaga kerja mahir dan keadaan cuaca buruk di Johor, Sabah, dan wilayah pantai timur, operasi huluan FGV telah menunjukkan sedikit daya tahan, dengan pengeluaran tandan buah segar (BTS) dalaman mencatatkan penurunan kecil satu peratus kepada 0.82 juta tan.

Walau bagaimanapun, hasil BTS meningkat sedikit kepada 3.04 tan sehektar disebabkan kawasan utama yang diperluaskan dan peningkatan tenaga kerja untuk aktiviti penuaian.

Bagi sektor logistik pula, FGV mencatatkan keuntungan operasi lebih tinggi sebanyak RM32 juta, meningkat 19 peratus berbanding RM27 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Namun, sektor gula pula melaporkan kerugian operasi sebanyak RM24 juta berikutan penurunan pendapatan tahun ke tahun sebanyak RM588 juta daripada RM593 juta sebelumnya disebabkan pengurangan jumlah jualan eksport bagi mengutamakan permintaan jualan tempatan.

Sektor itu juga menghadapi kos pengeluaran yang lebih tinggi didorong oleh pertukaran asing tinggi 5.2 peratus dan peningkatan 65 peratus dalam kos gas yang mengakibatkan kos penapisan yang lebih tinggi.

Menuju ke depan, FGV menjangkakan harga MSM kekal stabil dalam tempoh terdekat, antara RM3,800 satu tan hingga RM4,000 satu tan.

Nazrul berkata, pihaknya menjangkakan pengeluaran BTS bertambah baik tahun ini dengan tambahan pekerja asing yang akan memberi kesan positif kepada prestasi operasi.

Tambahan pula, katanya, profil umur pokok sawit telah bertambah baik, dengan purata umur 12.77 tahun dan 39 peratus kawasan ladang diklasifikasikan sebagai kawasan utama.

“Faktor berkenaan akan meletakkan kami dengan baik untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan dalam industri.

“Namun, kami juga kekal berhati-hati terhadap keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit kami, seperti cuaca El Nino menuju akhir tahun,” katanya.

Bagi sektor gula, FGV mengalu-alukan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang membenarkan pengeluar gula tempatan untuk mengeluarkan gula halus putih tulen.

Dari segi kelestarian, FGV telah melaksanakan pelbagai program untuk mengukuhkan amalan buruhnya, termasuk menyelaraskan dasar dan amalan pengambilan pekerja kepada piawaian buruh antarabangsa bagi menangani Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Salah satu piawaian utama yang diguna pakai oleh kumpulan ialah polisi tiada yuran pengambilan untuk pengambilan pekerja asing.

FGV berkata, bagi memberi pampasan kepada pekerja asing semasa, hampir RM30 juta telah dibayar kepada kira-kira 20,000 pekerja pada 15 Mac sebagai sebahagian daripada fasa pertama, dengan fasa berikutnya dijadualkan pada Jun dan September tahun ini.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo