SHAH ALAM: QL Resources Bhd (QL), pemegang francais induk FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 cawangan kedainya di seluruh negara sejak Mac lalu.
Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan ia mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menjadikan FamiCafé sebagai kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal.
Katanya, pensijilan halal itu juga selari dengan usaha berterusan FamilyMart Malaysia untuk memastikan pelanggannya untuk berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya.
"Perjalanan kami untuk mendapatkan pensijilan halal di kedai kami adalah langkah ke hadapan dalam memberikan jaminan dan keyakinan yang lebih utuh kepada pelanggan untuk membeli-belah dan menjamu selera bersama kami.
"Penghentian jualan alkohol ini memberi kesan kecil kepada keputusan kewangan kumpulan kerana ia hanya menyumbang peratusan yang rendah kepada jualannya.
"Kami merancang untuk mengembangkan pelbagai jualan makanan terutamanya di kafe termasuk minuman bagi meningkatkan jualan FamilyMart akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian pensijilan halal daripada JAKIM, di sini, hari ini.
Penyampaian sijil halal diwakili oleh Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Razi Hassan.
Katanya, semua FamiCafé serba baharu akan mengadaptasi susun atur yang disediakan JAKIM, manakala stor sedia ada akan diubah suai untuk tujuan sama.
"FamilyMart Malaysia menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang tahun 2025.Sebagai tambahan, FamilyMart kini giat berkembang ke pantai timur Semenanjung Malaysia.
"FamilyMart Malaysia sedang mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai untuk memenuhi permintaan pelanggan di rantau itu dan menyasarkan 20 kedai akan dibuka menjelang akhir 2023," katanya.
No comments
Post a Comment