Tindakan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menuntut bayaran saman fitnah daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di media sosial disifatkan sebagai menumpang populariti susulan namanya kini sudah tenggelam.
Menurut Sanusi, urusan pembayaran sudah pun diserahkan kepada peguamnya untuk diselesaikan dengan peguam Mahfuz.
“Saya sudah serahkan duit kepada peguam seminggu lalu dan peguam saya sedang urus dengan peguam Mahfuz. Sebab itu, saya kata hal ini adalah urusan peguam sebab kita sudah lantik peguam.
“Jadi, tak payahlah guna Facebook atau TikTok semua itu. Tak ada isu bankrap sebab tak bayar, semua diurus peguam…dia hanya nak tumpang populariti saya. Dia sudah tenggelam, kalau (kalah majoriti undi) 31,000 apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.
“Saya dengar dia nak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga atau Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang, dia nak tumpang orang itulah. Itu strategi politik Mahfuz sejak dulu sampai sekarang,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di Alor Setar.
Malah beliau menyifatkan pengaruh politik Mahfuz sudah tumpul sehingga memaksa beliau ‘mencakar’ orang berpengaruh.
“Dulu dia ‘cakar’ Tun Dr Mahathir Mohamad. Siapa yang popular dia akan pergi cakuk. Jadi saya serah kepada pengundi untuk menilai tokoh politik itu,” katanya.
Kelmarin Mahfuz menuntut Sanusi segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atasnya.
Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.
Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu, selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment