NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Caruman 20% KWSP: Majikan bakal pikul beban

Cadangan menaikkan potongan caruman majikan kepada 20 peratus oleh Perdana Menteri dikhuatiri menyebabkan majikan dibebani kos operasi yang tinggi, yang akhirnya akan memberi impak negatif kepada pekerja. (FOTO HIASAN)




KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan agar membuat penilaian secara menyeluruh sebelum menaikkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini kerana cadangan tersebut dikhuatiri bakal membebankan golongan majikan.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pertimbangan sewajarnya perlu dilihat dari sudut tabungan persaraan rakyat dan kesan ekonomi terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Beliau terpanggil untuk mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu berkenaan cadangan Perdana Menteri itu agar kadar caruman KWSP  bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus.  

Menurut Shahir, secara dasarnya, cadangan ini sangat bagus untuk simpanan persaraan rakyat, tetapi bakal mengundang malapetaka kepada ekonomi industri keusahawanan dan PKS.

“Dari sudut pandangan rakyat, mereka sudah tentunya gembira dengan cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri pada masa kini. 

“Rakyat sememangnya terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak tahun 2020. Kesan ekonomi masih terasa hingga hari ini,” ujarnya kepada HarakahDaily.  

Tambah beliau, cadangan ini bakal menyelesaikan isu pokok yang mana seramai 5.1 juta ahli KWSP atau 76 peratus yang mempunyai baki kurang RM10,000. 

Namun, cara lain yang boleh menyelesaikan isu ini adalah dengan memberikan dividen secara ‘tier rate’ yang lebih banyak kepada pencarum yang mempunyai baki kurang RM 10,000. 

“Dengan cara ini, majikan tidak tertekan dan ahli KWSP dapat menikmati pulangan yang lebih baik,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau turut berpandangan dari sudut majikan pula, terutama industri PKS, sememangnya cadangan Perdana Menteri agar caruman dinaikkan kepada 20 peratus itu adalah membebankan. 

Menurutnya lagi, perkara ini boleh dilaksanakan sekiranya caruman tersebut dibuat secara ‘tier rate’ juga. 

“Mungkin caruman sebanyak 20 peratus daripada majikan itu diperkenalkan kepada graduan yang mula bekerja atau mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500. 

“Perkiraan 13 peratus dan 20 peratus hanyalah peningkatan sebanyak RM105 sebulan bagi tangga gaji tersebut,” jelasnya.

Oleh itu, pihak kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik untuk semua tanpa terikut-ikut rentak populis untuk memancing undi. 

“Harus diingat, hutang negara kini termasuk liabiliti sudah mencecah RM 1.5 trillion. 

“Sekiranya perniagaan PKS menjunam, ia melibatkan 7.3 juta pekerja yang menyumbang kepada 48.4 peratus kepada guna tenaga negara,” hujahnya. 

Sementara itu, Penganalisis Sosio-ekonomi, Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa ketika dihubungi HarakahDaily memberitahu, perkara ini perlu ada keseimbangan bagi kenaikan caruman KWSP yang dicadangkan itu.

Cadangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, merupakan suatu langkah yang berani dan sememangnya memberikan impak positif kepada golongan pekerja. 

Namun, secara tidak langsung turut memberi bebanan kepada pihak majikan sekiranya cadangan itu berjaya dilaksanakan suatu hari nanti.  

Katanya lagi, sudah tentunya para pekerja mengalu-alukan kerana kadar caruman daripada majikan sebanyak 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan memberi tabungan caruman yang lebih banyak kepada mereka pada masa hadapan nanti. 

Persoalan bagaimanapun timbul adakah majikan pada masa kini berani untuk menambah caruman majikan sebanyak 20 peratus dalam keadaan ekonomi semasa?

Justeru, beliau turut mencadangkan kadar caruman daripada majikan boleh dinaikkan kepada 15 peratus terlebih dahulu, kemudian dinaikan kepada 18 peratus dan seterusnya hingga 20 peratus mengikut fasa dan keadaan ekonomi semasa.

Ahmad Fauzi turut berasa bimbang akibat langkah yang drastik ini dan boleh memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara.

Katanya lagi, beliau bimbang andainya potongan caruman 20 peratus itu dilakukan pada bulan hadapan atau tiga bulan lagi dalam keadaan majikan tidak bersedia, maka kemungkinan syarikat tersebut boleh gulung tikar dan akhirnya pekerja yang rugi, ekonomi masih tidak stabil.

Oleh itu, ujarnya, perkara tersebut seharusnya dapat dielakkan kerana setiap pihak perlu mencari titik persefahaman yang seimbang. 

“Mungkin pembayaran gaji bagi setiap pekerja perlu dinaikkan mengikut pengalaman dan gred semasa atau menggalakkan pekerja itu melakukan perniagaan.

“Dalam hal ini, kelangsungan ekonomi perlu dititikberatkan yang mana ia tidak akan membebankan mana-mana pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2023






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo