NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bukan Islam kekal dilarang guna kalimah Allah di Selangor



Selangor kekal melarang pengunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam di negeri itu.

Kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari pendirian negeri itu tidak terjejas meski Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain bagi tujuan pembelajaran.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan terus menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dizahirkan pada 23 Mac 2021 untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam di negeri itu.

“Titah Tuanku sebagai ketua agama Islam negeri Selangor bahawa penggunaan kalimah Allah di Selangor oleh penganut agama bukan Islam adalah dilarang.

“Ini adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 serta fatwa diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan dengan perkara yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan BN-PH dan KDN yang menarik balik rayuan tersebut.

Isnin lalu, Kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang penganut agama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland untuk menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya.

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Dalam keputusannya, Hakim Nor Bee berkata arahan KDN pada 5 Disember 1986 bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ’Kaabah’ ke atas orang bukan Islam menyalahi undang-undang dan tidak rasional.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo