NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri


TERDESAK untuk mengurangkan hutang dengan ah long dari Singapura, dua lelaki sanggup mengambil upah daripada ah long sama untuk mengugut peminjam lain dengan menyimbah cat dan membakar kereta.

Malah, dua lelaki tempatan itu turut mengajak dua wanita lain dipercayai teman wanita mereka untuk bersekongkol dalam perbuatan khianat tersebut.

Bagaimanapun, selepas berjaya membakar sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan dalam kejadian di Pulau Pinang, keempat-empat mereka yang berusia 22 hingga 33 itu akhirnya ditahan polis dalam serbuan berasingan di Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, terdahulu polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar pukul 4.20 pagi di Bukit Tengah, 30 April lalu.

Pada tarikh sama, ujar beliau, polis turut menerima dua lagi laporan yang membabitkan kejadian membakar kereta masing-masing jenis Perodua Kelisa dan Perodua Alza iaitu di Bukit Minyak dan Air Itam.
Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah.

“Hasil risikan polis berjaya mengesan kedudukan kereta itu di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh dan ketika serbuan dilakukan pukul 12.05 tengah malam 4 Mei lalu, seorang lelaki dan teman wanitanya yang sedang tidur di dalam kereta itu telah ditahan.

“Hasil soal siasat ke atas mereka kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak sebelum polis menahan seorang lagi suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgerown hari ini.

Tambahnya, siasatan, polis mendapati dua suspek lelaki terbabit meminjam wang sekitar RM1,000 hingga RM2,000 daripada seorang ah long dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.

Ujarnya, mereka menerima arahan terus daripada ah long berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang dan diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet.

”Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps, manakala seorang lagi wanita berperanan menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya.

Jelas beliau, mereka melakukan jenayah itu sejak pertengahan Mac lalu dengan menumpukan kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo