Fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara secara amnya dapat memberi kesan kepada manusia. Individu yang terdedah dengan cuaca panas berisiko untuk terkena strok haba.

Tidak terkecuali, haiwan juga berisiko terkena serangan sebegitu ekoran daripada fenomena cuaca panas ini.

Simptom Haiwan Yang Mengalami Strok Haba

Menurut Ketua Jabatan Patologi dan Mikrobiologi Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Farina Mustaffa Kamal, antara simptom awal haiwan mengalami strok haba adalah ia akan menjelir lidah (panting) dan air liur keluar dengan jumlah yang banyak (hypersalivation).

“Dalam keadaan teruk, haiwan akan kelihatan lemah, mengalami cirit-birit, muntah, sawan, peningkatan degupan jantung, lidah bertukar menjadi merah atau ungu,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya haiwan peliharaan anda menunjukkan simptom tersebut, ia perlu segera di bawa ke tempat teduh, kawasan berangin atau berhawa dingin serta balut dengan tuala basah di bahagian kepala, leher, dada dan kaki atau boleh terus mandikan mereka.

“Elak membasahkan haiwan dengan ais. Terus bawa haiwan anda ke klinik veterinar yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya lagi.

Langkah Penjagaan Haiwan Peliharaan Di Musim Panas

Pemilik haiwan dinasihatkan untuk memastikan sumber air mencukupi dan tidak membawa haiwan peliharaan keluar daripada jam 12 tengahari sehingga 4 petang.

Foto: Freepik

Pemilik juga perlu memastikan haiwan tidak berada dalam keadaan tertekan dan sekiranya dalam kandang, pemilik perlu pastikan jumlah haiwan tidak terlalu banyak bagi memastikan aliran pengudaraan yang baik.

Fenomena cuaca panas di negara ini dijangka berlarutan sehingga Ogos, susulan daripada musim peralihan monsun.