Tentera Israel mengawal kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa. - Foto REUTERS |
KUALA LUMPUR: Serangan rejim zionis ke atas Semenanjung Gaza dihentikan sekitar jam 7.30 pagi, waktu Gaza dengan setakat ini tiada kematian membabitkan penduduk di situ dilaporkan.
Perkembangan itu dimaklumkan rakyat Malaysia yang menetap di sana, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman atau Nadir Al-Nuri.
Berkongsi mengenai detik cemas itu, Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), berkata seluruh kawasan Gaza diserang, termasuk di utara, beberapa lokasi di bandar Gaza dan di bahagian selatan.
"Serangan ke atas Masjid Al-Aqsa berlaku sekitar jam 12 tengah malam tadi dan lima jam selepas itu baru berlaku serangan di Gaza. Alasannya konon ada roket dilepaskan dari Gaza ke beberapa kawasan termasuk di Sderot, di kawasan sekitar Gaza dan tanah haram Israel.
"Ia bermula selepas Subuh kira-kira jam 5 pagi tadi dan kemudian terhenti pada jam 7.30 pagi iaitu sekitar 1.30 tengah hari waktu Malaysia," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Ditanya mengenai situasi di bumi Gaza ketika ini, dia bersyukur kerana tidak ada penduduk yang terkorban dalam serangan itu, namun berlaku kerosakan harta benda di beberapa pusat latihan mujahidin Palestin.
Beliau turut memberitahu, rakyat Malaysia yang berada di sini dan keluarga mereka turut terselamat dalam insiden berkenaan.
"Di Gaza, hanya saya dan seorang lagi rakyat Malaysia yang berada di Khan Yunis, di selatan Gaza.
"Wanita itu tinggal di sini bersama suaminya warga Palestin dan anaknya baru saja menghubungi saya memaklumkan dia dalam keadaan selamat," katanya.
Dalam pada itu, Nadir turut memohon rakyat Malaysia untuk terus berdoa dan mengikuti perkembangan semasa penduduk Palestin memandangkan serangan semula dijangka tercetus pada bila-bila masa.
"Apa yang berlaku hari ini di Aqsa yang mencetuskan ketegangan di seluruh Palestin adalah permulaan memandangkan perayaan Yahudi, iaitu Passover baru bermula hari ini dan berterusan hingga 13 April ini.
"Pencerobohan dijangka berlaku di Masjid Al-Aqsa setiap hari mulai hari ini dengan kawalan ketat tentera dan polis zionis Israel.
"Maka, risiko berlaku semula rusuhan dan serangan di kawasan Gaza atau di Aqsa adalah sangat tinggi dan kesannya turut dirasai Gaza," katanya menegaskan penduduk Palestin berpendirian kukuh tidak wujud pemisahan di antara Tebing Barat yang dijajah sejak 1948 dengan kawasan yang diduduki mereka ketika ini.
Sumber | BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment