Penutupan jalan utama Gua Musang.
Penutupan jalan utama Gua Musang.

Awal Ramadan baru-baru ini, penduduk di Kelantan khususnya di Gua Musang dan perantau dikejutkan dengan notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis bermula 29 Mac sehingga 28 April ini.

Ia susulan bermulanya kerja pemasangan cerucuk Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di laluan berkenaan.

Berdasarkan notis itu, untuk pengguna jalan raya mahu ke bandar Gua Musang atau ke Lipis, Pahang mereka perlu melalui jalan alternatif, iaitu FT 008 - Jalan Bentong-Gua Musang Bentong, yang jalannya diketahui mempunyai banyak simpang dan agak sempit, sekali gus boleh menjadi penyumbang utama kepada kesesakan jalan jika banyak kenderaan melalui jalan itu.

Susulan pengumuman itu, ramai pengguna jalan raya mengeluh memikirkan tempoh penutupan itu kerana ia jatuh pada waktu puncak Ramadan dan Aidilfitri.

Lebih menggusarkan mereka, apakah nasib mereka tahun ini untuk pulang beraya kerana saban tahun laluan ke Kelantan dari Pahang khasnya, terkenal dengan kepulangan jutaan perantau sehingga menyebabkan jalan ke negeri Cik Siti Wan Kembang mengalami kesesakan lalu lintas luar biasa.

Apa tidaknya, kepulangan perantau untuk beraya pada tahun sebelum ini sudah mencecah belasan jam untuk sampai ke rumah atau destinasi masing-masing, apatah pula jika kali ini jalan utama 'set kito' ditutup dan terpaksa dilencongkan ke jalan lain.

Sudah semestinya keadaan kesesakan jalan di Gua Musang kali ini akan menjadi lebih luar biasa dan barangkali banyak kenderaan bakal tersadai di tepi jalan akibat terlalu lama terperangkap dalam kesesakan jalan.

Bagi perantau dari Lembah Klang yang mahu pulang ke Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, mereka boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), namun bagi perantau mahu pulang ke daerah lain semestinya mengambil masa lebih lama sekiranya melalui LPT.

Mohon tangguh projek 

Ramai pengguna mengeluh bagaimana sesuatu projek boleh dimulakan ketika waktu kritikal, iaitu pada waktu 'orang balik kampung' untuk menyambut Aidilfitri sedangkan laluan itu adalah jalan utama perantau untuk pulang ke kampung halaman.

Disebabkan itu juga pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Martabat Sejagat (MARTABAT) dan penduduk setempat sebelum ini memohon projek itu ditangguh sehingga selepas Aidilfitri.

Seorang perantau, Helmi Abdul Rahman, 40, menyifatkan projek dimulakan ketika Ramadan sehingga Aidilfitri itu dibimbangi menimbulkan kemarahan warga Kelantan yang ingin pulang beraya nanti.

Beliau yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan dan akan pulang ke Pasir Mas, Kelantan pada Aidilfitri nanti berkata, sudah tentu terpaksa menggunakan laluan di Gua Musang untuk pulang bercuti.

"Kami bukan marah projek itu dilakukan sebaliknya waktu ia dimulakan itu menimbulkan kemarahan. Apa salahnya projek itu dimulakan sedikit lewat, kasihanilah perantau seperti kami," jelasnya sambil menambah terpaksa menempuh 15 jam perjalanan untuk pulang ke Kelantan pada Aidilfitri tahun lalu.

Luahan sama turut disuarakan Hafizah Mokhtar, 39, yang tinggal di Pasir Pekan kerana setiap kali pulang ke untuk beraya di kampung, beliau melalui Gua Musang.

"Sejak menjadi perantau, memang setiap kali pulang ke kampung akan melalui Gua Musang berbanding LPT kerana lebih jauh. Jika ikut LPT, saya terpaksa menempuh jalan sesak kerana melalui banyak bandar untuk sampai ke Kota Bharu.

"Untuk perjalanan kali ini, saya yakin tempoh masa perjalanan akan bertambah kerana mengikut penduduk di Gua Musang, waktu sekarang pun jalan berkenaan sudah sesak, apatah lagi musim perayaan nanti," katanya.

Bagaimanapun, Pengarah JKR Kelantan, Mohd Suhaili Ismail, menegaskan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguh memandangkan kerja sudah dilakukan.

Beliau berkata, sekiranya laluan itu dibuka, ia tetap tidak boleh dilalui kenderaan memandangkan pemasangan cerucuk sudah dilakukan.

Perkara itu katanya, diputuskan menerusi perbincangan dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun selepas pihaknya menerangkan keadaan di lokasi sebenar.

"Justeru, perantau perlu merancang perjalanan untuk pulang ke kampung, iaitu bagi perantau Lembah Klang seeloknya melalui LPT, manakala bagi mereka dari Perak boleh melalui laluan Lojing," katanya.

Wartawan BH