PBB digesa bertindak ke atas rejim zionis Israel yang menceroboh dan menyerang umat Islam di Masjid al-Aqsa, Rabu lalu. -AFP |
PETALING JAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap tindakan Zionis Israel yang bukan sahaja menceroboh Masjid al-Aqsa, Palestin tetapi juga menyerang umat Islam sedang beribadah pada Rabu lalu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius dan mengutuk keras perbuatan jenayah Zionis Israel itu dan berpandangan provokasi ganas serta tindakan berkenaan hanya akan mengundang respons balas serta ketegangan lanjutan berpotensi memburukkan keadaan keselamatan di rantau tersebut.
Katanya justeru itu Pas menggesa semua pihak yang mencintai keamanan serta hak orang Islam untuk beribadah agar sama-sama bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengutuk keras perbuatan jenayah Israel untuk kesekian kalinya ini.
“Ini kerana pencerobohan tempat ibadah, terutamanya pada bulan suci umat Islam ini bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, malah bercanggah dengan semua nilai mulia kemanusiaan yang menjadi tonggak penting kepada kehidupan bersama yang aman, adil dan sejahtera.
“Oleh itu ia hendaklah dihentikan dengan serta-merta dan dalam hal ini juga campur tangan serta ketegasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya amatlah perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk tindakan ganas dan tidak berkemanusiaan apabila dilaporkan telah mencederakan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, sementara lebih 350 yang lain ditahan oleh pihak polis rejim membabitkan umat Islam berada dan beribadat di masjid berkenaan sempena bulan suci Ramadan.
Menurut Takiyuddin, laporan media memetik kenyataan Bulan Sabit Merah Palestin menyebut bahawa anggota polis rejim menggunakan peluru getah, bom asap dan bom tangan, selain memukul jemaah yang berada di dalam kawasan masjid menggambarkan niat jahat yang bermuslihat Zionis.
“Berselindung di sebalik dakwaan kehadiran kumpulan pengacau bertopeng yang berlindung di dalam masjid, pihak keselamatan rejim Israel pada hakikatnya hanya mengulangi kejadian April tahun lepas dan pada tahun 2021, yang telah mencetuskan perang 10 hari dengan rakyat Palestin berikutan pencerobohan ganasnya terhadap masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu.
“Keadaan tambah meruncing bila pasukan perubatan Bulan Sabit Merah Palestin juga dilaporkan dihalang dari memasuki lokasi berkenaan untuk memberikan rawatan kecemasan kepada individu yang cedera,” katanya. – UTUSAN
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment