Perdana Menteri ke-10 (PMX) seolah-olah memberi peringatan supaya kaum majoriti di negara ini jangan bersikap angkuh dan selesa. Siapakah kaum majoriti kalau bukan orang Melayu?
Kenyataan tersebut khabarnya disandarkan kepada pengamatan beliau di Kemboja. Menurutnya, Kemboja yang berpegang dengan ajaran Buddha, begitu meraikan masyarakat minoriti Muslim, bahkan telah melantik seorang Menteri beragama Islam. Oleh itu, beliau menyeru masyarakat di Malaysia mencontohi perkara tersebut.
Soalnya, mengapa asas di Kemboja itu menjadi kayu ukur untuk menempelak orang Melayu?
Hakikatnya, seawal tertubuhnya Malaya pada 1957, sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963, bahkan sampai ke hari ini, orang Melayu tidak sama sekali bersikap angkuh sehingga mengesampingkan bangsa lain.
Orang Melayu sangat toleran dengan bangsa lain. Dengan sifat itulah maka perpaduan kaum dan kerukunan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini wujud dari generasi ke generasi.
Dalam pentadbiran negara sebagai contoh, barisan Jemaah Menteri adalah dari pelbagai kaum dan agama. Ini berlaku sejak merdeka. Tidak pernah ada di mana-mana masa Jemaah Menteri dimonopoli oleh orang Melayu sahaja.
Sifat toleran orang Melayu (yang pegangan agamanya adalah Islam) menjangkau sampai kepada amalan dan aktiviti agama penganut bukan-Islam.
Mana pernah agama lain dihalang mengadakan aktiviti agama mereka. Bukan setakat tidak mengganggu, malah agama lain turut mendapat cuti umum dalam negara kita, atas maksud bahawa mereka bebas mengamalkan apa sahaja anutan mereka, selagi berlandaskan undang-undang negara.
Sekiranya Melayu Muslim tidak meraikan masyarakat bukan-Islam, sudah pasti rumah-rumah ibadat masyarakat bukan-Islam tidak dibenarkan dibina di setiap inci tanah air ini.
Bukan setakat itu, betapa tingginya sifat toleran orang Melayu terhadap bangsa lain menjadikan bangsa bukan majoriti bebas menjalankan aktiviti ekonomi dan perniagaan. Bukan setakat ahli ekonomi dan perniagaan biasa-biasa malah sehingga mencapai jutawan dan multi-jutawan.
Lihat senarai 10 orang terkaya di Malaysia. Melayu atau bukan-Melayu? Mereka diganggu oleh orang Melayu kerana orang Melayu itu sifatnya angkuh?
Mengapa orang Melayu sangat toleran? Sebab orang Melayu berpegang kuat kepada Islam.
Sudahlah sifat semula jadi orang Melayu itu lembut dan sopan, ditambah pula dengan ajaran Islam, menjadikan orang Melayu sangat toleran dan menghormati orang lain. Hargailah orang Melayu wahai Perdana Menteri-ku.
Salam Ramadan!
USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 6/4/2023
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment