Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) METMalaysia, Lim Ze Hui |
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan negara berpotensi berdepan risiko gempa bumi namun situasinya agak tipis berbanding negara di kawasan lingkaran api pasifik.
Berdasarkan pencerapan tahap seismik yang dilakukan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Lim Ze Hui berkata, Malaysia hanya akan merasai tempias gegaran yang rendah dan magnitud yang dialami juga tipis.
“Sebelah barat Sumatera, Indonesia yang berada di lingkaran api pasifiknya masih aktif, dan aktiviti gempa bumi juga masih dikesan di kawasan itu melalui pencerapan dan pemantauan sistem gempa bumi jabatan.
“Namun jangkaan kita, Malaysia masih berisiko menerima tempias kepada aktiviti gempa yang berlaku di kawasan lingkaran api tersebut.
“Selain itu, aktiviti gempa juga berlaku di sebelah timur Sumatera, kadang kala gegarannya boleh dirasai di negeri Pantai Timur Semenanjung, dan ia masih berpotensi berlaku dari masa ke masa.
“Jadi kita di sini akan sentiasa ada risiko menerima gegaran hasil daripada gempa bumi di kawasan-kawasan Sumatera tadi, tetapi untuk Malaysia jadi seperti di Turkiye sebenarnya tipis sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah beliau, Met Malaysia mempunyai sistem pemantauan gempa bumi yang boleh mengesan serta merekodkan tahap magnitud gegaran di dalam negara, serantau dan seluruh dunia.
Artikel berkaitan: Kebarangkalian berlaku gempa bumi di Malaysia – NRECC
Katanya, menerusi sistem itu memudahkan pihaknya menyalurkan maklumat kepada orang awam berhubung situasi semasa di dalam negara mahupun negara jiran dengan pantas.
Mengulas mengenai kesan tsunami kepada Malaysia akibat daripada gempa bumi, Lim berkata, Malaysia mempunyai kebarangkalian berdepan situasi itu seperti yang pernah berlaku pada tahun 2004.
Beliau menjelaskan, Malaysia sudah bersedia bagi mengesan situasi itu kerana memiliki sistem amaran awal tsunami yang mampu menyalurkan maklumat kepada orang ramai termasuk agensi bencana negara (NADMA) sebagai persediaan.
“Malaysia masih lagi berisiko dan masih lagi terdedah untuk situasi tsunami namun Met Malaysia bersedia untuk mengeluarkan amaran awal tsunami melalui sistem amaran tsunami kebangsaan.
“Kalau kita berbalik pada 2004, sistem amaran awal tsunami negara kita belum ada tapi kali ini kita telah lengkap dan bersedia sekiranya berlaku aktivti gempa bumi yang kuat seperti pernah berlaku di Aceh.
“Saya juga yakin kita mempunyai masa untuk mengeluarkan amaran tersebut walaupun masa agak suntuk keluarkan amaran.
“Namun kita masih boleh mengeluarkan amaran dan salurkan maklumat kepada agensi-agensi pengurusan bencana seperti NADMA dan juga polis,” jelasnya.
Ditanya mengenai kesiapsagaan orang ramai sekiranya berdepan dengan situasi gegaran akibat daripada gempa bumi seperti yang pernah berlaku beberapa negeri pantai barat Semenanjung, Lim menasihati orang ramai agar tidak mudah panik, berdiri, atau berjalan kerana ia akan membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan dan pening hingga rebah sebaliknya perlu tunduk.
“Dalam situasi itu, buat penilaian dengan memastikan tiada barang di sekiling kita akan rebah dan kalau boleh jauhkan diri dari persekitaran yang berisiko menghempap kita.
“Selain itu, pastikan persekitaran kita selamat dan tunduk sehingga gegaran itu berhenti, cuba bergerak ke tempat yang lebih rendah dan selamat. Itu antara yang perlu diingatkan,” ujarnya.
Sebelum ini, gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6.0 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015.
Manakala gegaran terkuat di Sarawak berlaku pada 1996 dengan 5.3 skala Richter.
Di Semenanjung Malaysia juga pernah berlaku beberapa gegaran gempa bumi dengan pusat gempa tempatan di Bukit Tinggi di Pahang, Empangan Kenyir di Terengganu, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Manjung dan Temenggor di Perak.
Gegaran berlaku dengan julat kekuatan antara 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment