NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keluarga mangsa basikal lajak kecewa tapi akur keputusan mahkamah

Ahli keluarga kepada lapan mangsa basikal lajak sudah menjangkakan Mahkamah Rayuan akan membebaskan kerani Sam Ke Ting. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Ibu bapa mangsa tragedi basikal lajak di Johor Bahru pada 2017 yang mengorbankan lapan nyawa, akur biarpun kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Sam Ke Ting.

Ibu kepada seorang mangsa, Fatimah Nasir, 49, berkata keluarga mereka reda dengan keputusan itu walaupun kekal dihantui tragedi berkenaan buat selama-lamanya.

Katanya, biarpun sudah enam tahun anaknya, Mohamad Azrie Danish Zulkefli, yang ketika itu berusia 14 tahun meninggal dunia, hati seorang ibu masih tetap terkenangkan arwah.

“Saya dan keluarga mangsa lain memang sudah jangka Sam akan dibebaskan apabila ia dibawa ke Mahkamah Rayuan.

“Tak boleh nak cakap apa dah sebenarnya, memang kecewa namun kami perlu akur, reda dan meneruskan kehidupan,” katanya menurut Berita Harian.

“Apa pun berlaku yang akan disalahkan adalah ibu bapa mangsa. Kami dikatakan tidak pandai jaga anak dan tak tahu tanggungjawab kerana biarkan anak bermain basikal sampai awal pagi, padahal kalau kami tahu, sudah tentu kami tidak benarkan.”

Katanya lagi, dia terkilan dan sedih apabila dicerca orang ramai.

“Mana ada ibu bapa yang tidak sayang dan biarkan sahaja anak sahaja. Ini ujian kami dan biarlah kami tanggung,” katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan Sam, 33, atas kesalahan yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017 itu.

Dalam kemalangan berkenaan, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta suspek.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hadhariah Syed Ismail bersidang bersama Hashim Hamzah dan Azman Abdullah, membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Sam, tahun lalu.

Selain Mohamad Azrie, tujuh remaja lain yang turut maut adalah Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Dalam pada itu, bapa Mohamad Azrie iaitu Zulkifli Sarkam, 49, turut kecewa dengan keputusan mahkamah itu namun reda atas apa yang berlaku.

“Biarlah tragedi ini berlalu. Kami reda. Keluarga mangsa alami kesedihan dan trauma berpanjangan setiap kali kes ini dibawa ke mahkamah.

“Saya yakin Sam juga ada perasaan sesal dan turut dihantui tragedi itu seumur hidup. Biarlah kami dan Sam rawat emosi kami dan teruskan hidup,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo