Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia disyaki akibat strok haba dan dehidrasi kelmarin.
Muhamad Syamil Aqil menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok pada jam 9.27 pagi.
Menceritakan perkara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Wanie Alias, 32, berkata, anaknya kelihatan aktif dan sihat keluar bersama adik beradik serta saudara mara pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu sangat aktif bermain basikal sebelum demam dan cirit-birit pada hari raya ketiga.
"Saya sentiasa memantau keadaan anak pada setiap jam dan mendapati suhunya antara 37 hingga 38 darjah celcius.
"Pada hari raya keempat selepas Subuh, saya lihat keadaan anak lemah dan mahu membawanya ke klinik kesihatan, namun ketika sedang bersiap dia secara tiba-tiba diserang sawan.
"Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Balai dan sampai di sana doktor terus memberi oksigen dan branula untuk masuk air. Namun, pasti terhenti dan dia pengsan," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, doktor cuba buat yang terbaik apabila memberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Namun katanya, doktor meminta dia dan suami reda sebelum anak mereka menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.27 pagi.
Katanya, jenazah anaknya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati anaknya meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi.
"Semua 'isi' di dalam iaitu jantung dan buah pinggang sudah hangus. Begitu juga air dan darah dalam tubuh sudah kering.
"Saya mahu ibu bapa mengambil iktibar daripada cerita ini dan jangan bagi anak-anak main panas terik mengikut suhu masa ini sangat tinggi. Bagi anak minum air secukupnya," pesannya.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia kerana strok haba dan dehidrasi.
"Bedah sia di HRPZ II keputusan awal mendapati kanak-kanak itu diserang strok haba dan dehidrasi," katanya di sini, hari ini.
- HMetro
No comments
Post a Comment