Sebanyak 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau ‘hilang’ batu nisan akibat dicuri. (Gambar Bernama) |
JOHOR BAHRU: Sebanyak 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan, “hilang” batu nisan dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.
Menerusi tinjauan di tanah perkuburan itu pagi tadi, kebanyakan batu nisan dicuri adalah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 bagi satu set.
Penggali kubur, Muhammad Izzul Hafiq Ramlan, 29, berkata terdapat beberapa waris yang menemuinya selepas terkejut melihat ketiadaan batu nisan ketika menziarahi kubur pada pagi raya seminggu lalu, sebelum ia tular di Facebook, sejak semalam.
Katanya, perkuburan di tanah wakaf itu tidak dikunci atas permintaan orang ramai terutama waris bagi memudahkan ia diziarahi, sekali gus terdedah kepada pencerobohan.
“Ada ramai (waris) mengadu ketika ziarah kubur pada pagi raya batu nisan (ahli keluarga) hilang, kita tidak boleh buat apa kerana kubur ini tanah wakaf dan pada waktu malam juga tiada siapa jaga.
“Kita syak kegiatan ini dilakukan ketika waktu tiada pengebumian, mungkin waktu malam. Kebanyakan batu nisan yang dicuri adalah batu sungai dalam sembilan set, kerana boleh dijual semula dan nama si mati boleh dipotong,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu.
Izzul Hafiq berkata, selain batu sungai, batu nisan putih yang kebiasaannya digunakan dan bernilai RM350 bagi satu set turut dicuri, dan turut menjelaskan kejadian tersebut kali pertama berlaku di tanah perkuburan yang dibuka sejak awal 90-an itu.
Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian.
Justeru, beliau menasihati orang ramai terutama waris membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan dilakukan.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment